Yong Kee Tiong, 45, menunjukkan piala yang dimenanginya dalam sukan 'drag race' dan mahu menggunakan pengalamannya itu untuk membantu kerajaan negeri merancakkan lagi sukan permotoran di Melaka.

MELAKA – Seorang mekanik yang aktif dalam sukan permotoran ‘drag race’ mahu menjadikan sukan litar lumba itu sebagai tarikan terbaharu dalam kalender pelancongan di Melaka.

Pemilik Vag Top Auto Garage, Yong Kee Tiong, 45, berkata, cadangannya itu sekali gus dapat mengelakkan golongan belia daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram selain mengembangkan lagi bakat mereka.


Vag Top Auto Garage akan menggunakan kepakarannya dalam pembaikan kotak gear dan penalaan modul kawalan enjin untuk menarik minat golongan belia dalam sukan permotoran.

“Sejak mengusahakan bengkel kereta kira-kira 20 tahun lalu termasuk mempunyai kepakaran dalam pembaikan kotak gear dan penalaan modul kawalan enjin (ECU tuning), kami lihat sukan permotoran ini semakin diminati golongan belia.

“Mungkin apabila saya terlibat dalam sukan ‘drag race’ lima tahun lalu sehingga memenangi tempat pertama, ramai mahu saya menganjurkan program ini dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di Taman Merdeka Permai, Baru Berendam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kee Tiong berkata, dia melihat selain Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC) di Durian Tunggal, di sini, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam juga boleh dijadikan acara program sukan permotoran itu.


Kee Tiong dan pasukannya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadikan sukan ‘drag race’ di LTAM sebagai tarikan terbaharu dalam kalender pelancongan di Melaka.

“Kami yakin, jika LTAM boleh dijadikan acara litar ‘drag race’ ia pastinya dapat merancakkan lagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 pada 27 hingga 29 September ini yang menghimpunkan seramai 155 menteri pelancongan seluruh dunia

“Apa yang lebih penting, ‘drag race’ ini dapat menjadi medan sah di sisi undang-undang untuk golongan muda menunjukkan kehebatan mereka dalam sukan permotoran bukannya melalui aktiviti lumba haram,” katanya.

Kee Tiong berkata, dia dan pasukannya sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri menggunakan pengalaman selama lebih 20 tahun untuk merealisasikan cadangan itu sekali gus menjadi promosi awal Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast