Serpihan peluru berpandu yang ditembak dari Iran ke arah Israel meninggalkan jejak di langit malam bandar Jerusalem pada 13 Jun 2025. Foto AFP

MINGGU lalu, Presiden Donald Trump menyatakan beliau akan mengambil keputusan sama ada hendak menyerang Iran atau tidak dalam masa dua minggu. Maka Ahad lalu sudah satu minggu berlalu dan tinggal lagi seminggu lagi dunia akan dapat melihat perang Israel-Iran akan bertukar menjadi perang Amerika-Iran.

Seperti banyak orang di Malaysia, saya menikmati hujung minggu lalu yang aman dan tenang. Saya melihat banyak orang keluar rumah secara santai pada sebelah pagi. Ada yang keluar awal untuk bersenam dan beriadah. Ada yang berada di surau dan masjid mendengar kuliah subuh. Tetapi lebih banyak lagi yang berpusu-pusu di kedai makan dan warung untuk sarapan pagi yang istimewa sedikit berbanding hari biasa.

Tentulah kebanyakan orang tidak mempedulikan tentang hal ehwal semasa terutamanya di pentas antarabangsa. Kalau pada zaman era orang ramai bergantung pada akhbar harian untuk mendapat berita, maka pada hari Ahad, dapat dilihat orang ramai akan membeli akhbar mingguan untuk mengetahui perkembangan terkini dunia. Maka kelihatan orang membaca akhbar mingguan di kedai-kedai kopi.

Tetapi kini tentulah berita lebih mudah dan cepat diperoleh dari telefon pintar. Mereka yang mengikut perkembangan perang Israel-Iraq sudah tentu sudah menjenguk akaun media sosial mereka untuk mengetahui perkembangan sebaik saja mata mereka celik dari tidur.

Saya pun begitu. Pada awal pagi, saya dapati belum ada perkembangan yang menunjukkan Amerika Syarikat menyerang Iran. Itulah perkara yang saya harap tidak berlaku kerana kesannya besar pada seluruh dunia.

Apabila Amerika mengebom Iran, besar kemungkinannya Teheran akan membalas balik. Jika Iran tidak nembalas balik, maka keadaan terhenti setakat itu. Tetapi apabila Iran membalas balik, pasti Amerika menyerang balik. Ia tidak akan berkesudahan dan akan memberi pelbagai jenis kesan pada dunia. Cara Iran membalas serangan Amerika juga akan menentukan keadaan seterusnya. Ia sama ada Iran menyerang pangkalan-pangkalan tentera Amerika yang ada di sekitarnya, iaitu di Iraq, Kuwait, Qatar, Bahrain, Emiriah Arab Bersati (UAE) dan Arab Saudi; atau menutup Selat Hormuz yang menghalang aliran keluar minyak dari negara-negara Teluk Parsi.

Sebanyak 20 peratus keperluan minyak dan 30 peratus gas cecair dunia datang dari situ. Negara-negara pengeksport mInyak di Teluk Parsi terdiri daripada Kuwait, Bahrain, Qatar, UAE, Arab Saudi, Iraq dan Iran sendiri. Akibatnya, harga minyak dunia akan baik melambung tinggi, merosakkan pasaran kewangan global dan membawa kepada inflasi besar-besaran.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi jika negara-negara Eropah khususnya Britain, Perancis dan Jerman turut membantu Israel dam Ametkka, ditambah pula Rusia, China dan Korea Utara pula membantu Iran. Ini sudah membawa kepada Perang Dunia Ketiga yang kesannya lebih besar lagi.

Amerika, Britain, Perancis dan Israel memiliki senjata nuklear. Di sebelah yang menyokong Iran; ketiga-tiga Rusia, China dan Korea Utara adalah kuasa nuklear. Pakistan yang juga mempunyai senjata nuklear sudah menyatakan ia memihak pada Iran. Lawannya, India yang juga mempunyai bom nuklear lebih condong pada Israel.

Walaupun mungkin semua pihak tidak akan menggunakan senjata nuklear kerana sedar tentang ancamannya yang boleh memusnahkan manusia dan bumi, tetapi Perang Dunia Ketiga pasti lebih mengerikan kerana senjata yang digunakan akan turut memanfaatkan teknologi robot membabitkan kepintaran buatan.

Tetapi andai kata, dunia tidaklah terheret ke kancah Perang Dunia Ketiga, ia tetap memberi kesan buruk pada semua negara di dunia termasuk Malaysia terutamanya dalam ehwal ekonomi. Pertumbuhan pasti menguncup dan kenaikan harga barang yang dahsyat tidak akan dapat ditangani oleh kerajaan, tidak kira dari parti politik mana.

Maka sekitar pukul 10 pagi, berita pertama mengenai serangan Amerika ke atas Iran masuk ke dalam akaun Facebook saya. Perkara pertama yang saya fikir ialah kemungkinan ia berita palsu yang sering berlaku.

Setelah bertub-tubi laporan serangan itu keluar dalam YouTube dan TikTok, memang benar Amerika telah melakukan serangan ke atas tiga pusat fasiliti Iran iaitu di Fodow, Isfahan dan Natanz dengan menggunakan bom MOAB yang juga seting dipanggil sebagai Mother of All Bombs (Ibu segala bom).

Fodow terletak tidak jauh dari Teheran, dan lebih hampir pada kota Qom, tempat terletaknya makam Ayatullah Khomeini. Saya pernah sampai ke Qom pada tahun 1989, beberapa bulan selepas beliau meninggal dunia dan kompleks makam itu dalam pembinaan. Banyak rakyat Iran menziarah makam itu. Saya tonton rakaman penuh upacara pengkebumian beliau. Seorang pegawai kedutaan Malaysia mempelawa saya menonton rakaman itu di rumahnya. Masa itu tidak ada Internet lagi dan saluran maklumat bervideo amat terhad.

Beribu-ribu rakyat Iran mengiring jenazah beliau ke tanah pengkebumuan. Beliau amat popular dan tahun 1989, Revolusi islam Iran baru berusia 10 tahun. Ayatullah Khamenei menggantikan beliau sebagai Pemimpin Tertinggi Iran. Ali Khamenei adalah Presiden Iran sebelum dilantik menjadi bakal pengganti Khomeini. Jawatan bakal pengganti pemimpin tertinggi itu diwujudkan oleh Majlis Pakar untuk persediaan jika Khomeini meninggal dunia. Majlis Pakar atau Council of Experts adalah badan politik tertinggi Iran. Presiden dan ahii parlinen dipil8h melalui pilihan rata umum. Tetapi pemimpin tertinggi dipilih olej majlis pakar.

Apabika Republik Islam ditubuhkan pada tahun 1980, Ayatullah Khomeini melantik Ayatullah Montazeri sebagai bakal penggantinya. Saya ada membaca pendapat-pendapat beliau dan mendapati ia lebih terbuka daripada Khomeini.

Tetapi Majlis Pakar dan Khomeini sendiri berasakan bahawa pendapat-pendapat beliau itu boleh menggugat asas Revolusi Islam dan Republik Islam. Maka sebab itu dikatakan beliau digugurkan dan digantikan dengan Khamenei.

Sistem pemerintahan Iran adalah kompleks dan inilah yang dipanggil sebagai “rejim Iran” oleh Barat khususnya Israel. Israel mahukan “perubahan rejim” iaitu meruntuhkan sistem Republik Islam ini dan digantikan sistem monarki dengan waris takhta Iran, Reza Pahlavi dikembalikan berkuasa di Teheran.

Reza yang kini tinggal di California, Amerika Syarikat menyokong Israel dan pernah melawat Baitulmakdis serta kelihatan menyertai upacara keagamaan Yahudi di Dinding Ratapan. Salah seorang cucu Shah Iran pula, Iman Pahlavi pula berkahwin dengan seorang Yahudi New York dengan disifatkan sebagai jalinan hubungan Parsi dan Yahudi

Perdana Menteri Israel. Benjamin Netanyahu serta banyak pihak di Barat mengharapkan supaya dengan serangan Amerika ke atas Iran, rakyat negara itu, yang berasa tertekan dengan teokrasi bangkit dan menuntut diwujudkan demokrasi.

Sememangnya ada rasa rasa tidak puas dalam kalangan rakyat Iran terhadap pemerintahan seperti yang saya kesan ketika mengunjungi negara itu pada tahun 2003, iaitu 24 tahun selepas revolusi. Tetapi golongan yang mendukung sistem demokrasi liberal lebih-lebih lagi monarki Pahlavi amat kecil.

Iran bukanlah sebuah teokrasi seperti yang digambarkan oleh Barat. Ia bukanlah seperti Afghanistan. Ia adalah gabungan demokrasi-teokrasi di mana ada banyak ruang kebebasan. Malah saya lihat sebuah buku yang dikatakan mempertikaikan pemakaian tudung dijual secara terbuka depan Universiti Teheran. Rasa tidak puas hati Iran tertumpu pada ekonomi di mana negara itu mengalami sejatan ekonomi Barat sejak tahun 1979.

Dua hari lepas, ada tular video ucapan Ayatullah Khamenei mengenai rasa tidak puas hati rakyatnya. Katanya adalah suatu yang lumrah apablla generasi rakyat hari ini tidak berasa berkait dengan Revolusi Islam yang berlaku 45 tahun dahulu. Semangat revolusi juga kian luntur pada generasi lama dan lupa apa yang menyebabkan mereja turun ke jalan raya untuk menjatuhkan raja pada masa itu.

Menurutnya, sifat revolusi adalah seperti itu. Revolusi Perancis yang berlaku dengan lebih dahsyat telah akhirnya membawa rakyatnya menerima kembali keluarga Bourbon untuk menjadi raja. Beliau berharap perkara itu tidak berlaku pada Republik Islam. Ternyata pemerintah Iran sedar mengenai rasa tidak puas hati rakyat pada teokrasi dan pemerintahan ulama.

Namun adalah dipercayai serangan Amerika dan Israel terhadap Iran mengukuhkan lagi perpaduan dan sokongan rakyat terhadap pemerintah. Sebagai timbal balik, jika Iran dapat mengalahkan Amerika dan Israel, suatu penyusunan semula sistem pemerintahan dan masyarakat untuk memperbaiki kehidupan rakyat akan dilakukan. – MalaysiaGazette

— ZIN MAHMUD mantan Pengarang Rencana Utusan Malaysia dan mantan Pengarang Mingguan Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast