KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN (MPAMK) mengambil maklum berhubung laporan media mengenai peletakan jawatan beberapa ahli Jawatankuasa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang Selayang yang tular baru-baru ini.
MPAMK dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat pertama penggal baharu yang diadakan pada 19 Jun lepas telah meneliti isu tersebut dengan menyemak semua dokumen dan maklumat berkaitan.
Setiausaha MPAMK, Omar Mokhtar A Manap berkata, hasil semakan mendapati wujud beberapa percanggahan dalam surat-surat peletakan jawatan yang diterima.
“Bagi berlaku adil kepada semua pihak serta memastikan tindakan selari dengan Peraturan Angkatan Muda Keadilan, MPAMK telah memutuskan untuk mengadakan satu pertemuan khas bersama semua ahli Jawatankuasa AMK Cabang Selayang dalam minggu ini,” katanya.
Pertemuan tersebut dijangka menjadi platform mencari titik persefahaman dan menyelesaikan segala kekeliruan yang timbul berkaitan isu peletakan jawatan itu.
Dalam pada itu, Omar menegaskan, AMK Cabang Selayang masih berfungsi dan berstatus sah seperti biasa serta kekal beroperasi mengikut peraturan parti yang telah ditetapkan.
“Kami ingin menegaskan semua urusan AMK Cabang Selayang masih berjalan seperti biasa dan tidak terjejas. Segala tindakan akan diambil dengan telus dan adil demi memperkukuh perjuangan bersama.
“Mohon semua pihak dapat memberi ruang kepada proses dalaman untuk diselesaikan secara berhemah demi kestabilan dan kekuatan organisasi,” ujarnya.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, Timbalan Ketua AMK Selayang, Muhammad Amir Sahmat mendakwa seramai 14 AJK yang dipilih dalam pemilihan 12 April lalu meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap ketua pemuda baharu, Tamilarasu Thamil Kalai susulan dakwaan pemilihan yang tidak telus.
Dakwa Muhammad Amir, 14 AJK turut menandatangani Surat Akuan Sumpah dan surat peletakan jawatan sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Tamilarasu yang dikatakan tidak mendapat mandat majoriti. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Sudah 47 hari berlalu, PKR didakwa gagal selesaikan krisis AMK Selayang
















