Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid tiba di perkarangan mahkamah bagi sebutan kes pertuduhan gagal mengisytiharkan harta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 MEI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menggantung sementara perintah pembekuan yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tujuh hartanah yang didakwa milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Tujuh hartanah itu termasuk tiga kediaman mewah di London dan satu akaun bank didakwa milik isteri Allahyarham, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menggantung sementara perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Na’imah, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.

Beliau berpuas hati, permohonan perintah pembekuan berkenaan sepatutnya didengar secara kedua belah pihak.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah dalam prosiding itu.

Pada 3 Jun lalu, SPRM mendapat perintah secara ex parte untuk membekukan tujuh hartanah terbabit dan satu akaun bank mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua harta terbabit berjumlah GB£132 juta (RM758.2 juta).

Artikel berkaitan:

Mengikut permohonan SPRM, hasil siasatan dijalankan mendapati, harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kesemua harta itu ialah sebuah bangunan komersial yang beralamat di St Mary Axe, London yang dibeli pada bulan Julai 2013 dengan harga GB£23,700,000.

Sebuah lagi bangunan beralamat di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada Oktober 2014 dengan harga GB£31,500,000.

Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews, London, telah dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga GB£37,870,000.

Turut dibekukan ialah dua unit kediaman bersebelahan beralamat di Gloucester Place, London, dibeli pada 8 Januari 2021 dengan harga GB£8.095 juta, dan satu akaun bank.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi berasingan akan mendengar permohonan Na’imah mencelah terhadap permohonan SPRM untuk membekukan 12 unit akaun pelaburan dimiliki beliau dan keluarga serta sekutu di Singapura bernilai lebih RM544 juta.

Ia akan didengar di hadapan Hakim K. Muniandy.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Iman Wan Mohd Afzal memohon mahkamah membenarkan perintah membekukan harta itu, yang mengikut hasil siasatan
awal, dipercayai menggunakan sumber pendapatan dalam negara dan tidak pernah diisytiharkan.

Katanya, mahkamah hendaklah membekukan harta itu sebelum ia dilupuskan.

Bagaimanapun, Gurdial menyatakan pihaknya keliru dan kecewa terhadap permohonan itu kerana tidak pernah menyebut nama mana-mana responden dalam permohonan mereka.

“Perintah ini bukan sahaja terhadap harta tetapi juga terhadap individu. Permohonan ini tidak boleh diteruskan secara ex-parte. Ia perlu diteruskan secara inter-parte.

“Saya mohon supaya mahkamah ini tidak mengeluarkan sebarang perintah (berkaitan pembekuan) sehingga permohonan inter-parte didengar.

“Kami tidak mempertikaikan tindakan SPRM untuk membuat permohonan ini atau untuk membuat siasatan tetapi ia mestilah dijalankan dengan cara yang sewajarnya,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumat dalam hujahan balasnya menyatakan, permohonan yang dibuat adalah perintah pembekuan dan bukan pelucutan harta.

“Perintah diperlukan bagi memastikan status quo (tidak dilupuskan) aset itu sementara siasatan dijalankan.

Selepas setahun, sekiranya tiada sebarang kesalahan dikaitkan dengan aset berkenaan, ia akan dipulangkan semula,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast