Oleh: Dr. Ahamad Jama’ Amin Yang
KONFLIK antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sekadar episod ketegangan serantau yang bersifat sementara. Ia mencerminkan ketegangan struktur dalam sistem antarabangsa, khususnya antara kuasa hegemonik yang sedang menyusut dan aktor-aktor geopolitik baharu yang semakin berani mencabar status quo. Krisis ini mendedahkan keretakan dalam wacana dominan Barat berkenaan keselamatan, kedaulatan dan kepimpinan global, di samping membongkar watak manipulatif di sebalik retorik “keamanan” yang sering dijadikan justifikasi bagi tindakan unilateral.
Israel dan Amerika Syarikat, pakatan ketenteraan atau proksi hegemoni
Tindakan Israel melancarkan siri serangan berskala tinggi ke atas kemudahan nuklear dan
struktur strategik Iran seperti Natanz dan Fordow tidak sekadar memperlihatkan kebimbangan keselamatan, tetapi mencerminkan doktrin pencegahan yang kini berubah menjadi aksi penghancuran struktur negara musuh. Serangan udara dan siber ini turut mensasarkan institusi komunikasi, pertahanan dan simbol politik, sekali gus menandakan perubahan pendekatan dari taktik pertahanan kepada strategi dominasi total.
Amerika Syarikat tidak sekadar menjadi penonton. Kehadiran aset ketenteraannya seperti kapal induk dan sistem pengebom strategik di rantau Teluk jelas menunjukkan kesiapsiagaan untuk campur tangan secara langsung. Namun, kegagalan lalu dalam misi regime change di Iraq, Syria dan Libya telah mencetuskan dilema dalam kalangan pembuat dasar di Washington. Presiden Amerika Syarikat mengambil pendekatan tangguh, bukan kerana ketiadaan kuasa, tetapi kerana keraguan terhadap keberkesanan naratif ketenteraan sebagai penyelesaian jangka panjang.
Wujud ketegangan dalaman antara kumpulan neokonservatif yang menuntut ketegasan dan golongan nasionalis-populis yang mahu pengunduran daripada sebarang penglibatan luar. Situasi ini mendedahkan krisis legitimasi yang sedang melanda naratif hegemonik Amerika Syarikat – apabila kuasa global tidak lagi mampu menyatukan kekuatan ketenteraan dengan kewibawaan moral. Israel dalam konteks ini, dilihat menggunakan ruang ketidaktentuan ini untuk bertindak secara unilateral.
Matlamat utamanya bukan sekadar menghapuskan ancaman nuklear, tetapi untuk melumpuhkan keutuhan politik dan ketenteraan Iran agar dominasi Israel di rantau dapat dikekalkan tanpa persaingan strategik. Namun, ilusi bahawa rejim boleh digulingkan melalui serangan bersenjata memperlihatkan keangkuhan geopolitik yang menafikan kompleksiti sosio-politik dunia Islam.
Iran, ketahanan strategik dan risiko eskalasi
Iran bukanlah aktor pasif dalam konflik ini. Sejak bertahun-tahun, negara ini membina kekuatan ketenteraan asimetrik serta jaringan sekutu di Lebanon, Syria, Iraq dan Yaman yang berfungsi sebagai barisan pertahanan luar. Iran memahami bahawa ancaman bukan sekadar bersifat ketenteraan, tetapi juga melibatkan percubaan sistematik untuk melemahkan kredibiliti dan keabsahan pemerintahannya melalui perang maklumat, sekatan ekonomi dan sabotaj struktur.
Sebarang serangan terbuka ke atas wilayah Iran dijangka akan mencetuskan tindak balas berskala besar ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau ini dan ke atas wilayah Israel sendiri. Ini akan membawa kepada konflik penuh skala yang melibatkan bukan sahaja negara tetapi juga aktor-aktor bukan negara yang sedia untuk memobilisasi sokongan bersenjata dalam masa yang singkat.
Dalam analisis strategik, tindakan terhadap Iran berpotensi mencetuskan gelombang ketidakstabilan yang jauh lebih luas daripada apa yang berlaku selepas pencerobohan Iraq. Bukan sahaja struktur geopolitik Timur Tengah akan berubah, malah kestabilan tenaga global, perdagangan maritim dan perimbangan kuasa Eurasia turut terjejas. Dalam konteks ini, Iran bukan sekadar “ancaman” seperti yang sering digambarkan dalam wacana Barat, tetapi adalah simbol kepada penentangan terhadap sistem unipolar yang semakin longgar dari segi legitimasi dan prestasi.
Respons Rusia, China dan dunia Islam: Antara penyeimbangan dan solidariti
Krisis ini telah mempercepatkan penentangan terbuka daripada kuasa-kuasa besar lain terhadap tindakan unilateral Amerika Syarikat. Rusia menyifatkan tindakan terhadap Iran sebagai bentuk penjajahan baharu yang berselindung di sebalik alasan keselamatan. Moscow menegaskan bahawa pelanggaran terhadap kedaulatan Iran adalah bertentangan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan bersumpah untuk mengukuhkan kerjasama keselamatan dengan Tehran.
China pula mengambil pendekatan yang lebih halus tetapi strategik. Beijing menolak sebarang bentuk tindakan ketenteraan dan menekankan keperluan diplomasi pelbagai hala yang adil dan seimbang. Dalam masa sama, China mempercepatkan kerjasama teknologi, pelaburan dan keselamatan dengan Iran, sekali gus mengukuhkan paksi penyeimbang terhadap dominasi ketenteraan Barat.
Dunia Islam dan Arab pula menunjukkan reaksi bercampur. Negara-negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu mengambil posisi berkecuali demi menjaga hubungan ekonomi dan keselamatan dengan Washington. Namun, negara seperti Turki, Qatar dan Algeria secara terbuka menentang tindakan Israel dan menggesa penyelesaian diplomatik.
Dalam kalangan masyarakat Islam global, wujud peningkatan sentimen bahawa tindakan terhadap Iran adalah kesinambungan kolonialisme moden yang masih menganggap dunia Islam sebagai medan eksperimen geopolitik kuasa besar. Wacana baharu sedang terbentuk dalam kalangan cendekiawan dan masyarakat sivil Islam, yang menolak naratif dominan tentang ancaman nuklear dan sebaliknya menekankan isu keadilan global, kedaulatan negara dan penolakan terhadap double standard dalam sistem antarabangsa.
Krisis legitimasi global dan kegagalan naratif barat
Apa yang sedang berlaku di Iran bukan hanya pertarungan antara negara, tetapi adalah krisis legitimasi terhadap wacana antarabangsa yang didominasi oleh Barat pasca-Perang Dingin. Amerika Syarikat yang selama ini dianggap pemegang moral autoriti dalam menjaga kestabilan global, kini dilihat sebagai kuasa yang gagal mengimbangi antara kekuatan ketenteraan dan tanggungjawab moral.
Ketergantungan terhadap kekerasan tanpa mempertimbangkan saluran diplomatik memperlihatkan keruntuhan terhadap konsep multilateralisme yang selama ini menjadi asas kepada sistem antarabangsa pasca-1945. Wacana yang menjustifikasikan tindakan bersenjata atas nama “keselamatan” dan “demokrasi” semakin dipersoal oleh masyarakat global yang semakin celik terhadap manipulasi bahasa kuasa. Konflik Israel-Iran-Amerika ini sekali lagi membuktikan naratif keselamatan sering menjadi alat untuk menyembunyikan motif sebenar – iaitu pengukuhan dominasi, penguasaan sumber dan penundukan musuh geopolitik.
Masa depan konflik ini masih terbuka, namun implikasinya terhadap perimbangan kuasa dunia tidak dapat dinafikan. Andai Amerika Syarikat dan Israel terus mengekalkan strategi kekerasan serta dominasi unilateral, maka ancaman terhadap keamanan sejagat, prinsip kemanusiaan universal dan kelangsungan norma antarabangsa akan menjadi semakin genting.
Sebaliknya, sekiranya dunia ingin membina satu tatanan baharu yang berasaskan prinsip keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara, maka suatu pendekatan yang lebih beretika, reflektif dan bertanggungjawab mesti segera dirintis. Seperti yang dihujahkan secara implisit oleh Edward Said, peradaban sering dijadikan alasan moral untuk penjajahan moden, di mana wacana tentang ‘kemajuan’ berfungsi menyembunyikan niat dominasi dan penaklukan kuasa besar.

Penulis adalah Pensyarah, Jabatan Sejarah Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani Kedah dan Felo Bersekutu Royal Historical Society, United Kingdom.
















