Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff (tengah) berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Majlis Peperiksaan Malaysia. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 JUN 2025.

SELAYANG – Seramai 1,266 atau 3.06 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Bilangan calon ini meningkat seramai 150 calon berbanding tahun 2023.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, PNGK bagi STPM tahun  2024 meningkat 0.01 mata kepada 2.85 berbanding tahun lepas.

“PNGK itu adalah yang tertinggi sejak peperiksaan ini dilaksanakan.

“Dari segi pencapaian PNGK calon, secara keseluruhannya didapati bilangan n dan peratusan longgokan calon STPM 2024 pada PNGK 3.75, PNGK 3.00, PNGK 2.75, dan PNGK 2.00 telah meningkat berbanding tahun 2023,” katanya ketika Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2024, hari ini.

Menurutnya, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran melonjak daripada 41 calon dalam STPM 2023 kepada 53 calon.

Manakala, bilangan calon yang mendapat 4A turut bertambah daripada 1,087 pada 2023 kelada 1,228 calon.

Berikutan peningkatan PNGK itu, beliau optimis ramai lagi calon STPM 2024 bakal diterima masuk ke universiti awam (UA).

Beliau berkata, calon yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat 0.70 peratus atau 201 calon  untuk tahun 2024, berbanding sebelumnya, iaitu 75.85 peratus atau 31, 516 calon pada tahun 2023 kepada 76.65 peratus atau 31,717 calon pada 2024.

Tambah beliau, 99.97 peratus iaitu 41,422 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2024.

Terdahulu katanya, seramai lebih 42,861 calon yang mendaftar menduduki peperiksaap STPM 2024 berbanding 42,908 calon yang mendaftar tahun sebelumnya.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 41,434 orang bersamaan 96.67 peratus calon telah hadir menduduki peperiksaan bagi ketiga-tiga semester.

Md Amin juga memaklumkan, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan STPM tahun lalu mencatatkan peratusan lulus penuh 60 peratus iaitu gred C dan ke atas.

“Empat mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan melebihi 3.0 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding dengan prestasi pada tahun 2023, iaitu mata pelajaran ekonomi, kimia, matematik, perakaunan manakala tiada mata pelajaran yang menunjukkan penurunan melebihi negatif 3 peratus.

“19 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang Lulus Penuh antara tahun 2024 dengan
2023 adalah kurang daripada 3 peratus,” ujar beliau.

Di majlis yang sama, beliau turut mengumumkan seramai 20 pelajar STPM terbaik kebangsaan mengikut kategori dan menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil daripada MPM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast