KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa membakar karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berlebihan dan tandus pemikiran rasional.
MPPK yang mengecam perlakuan itu menambah, tindakan tersebut bersifat provokatif, berlebihan dan mencemarkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sebagai medan ilmu dan intelektualisme.
“Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
- https://malaysiagazette.com/2025/06/24/pelajar-bakar-foto-pm-bachul-bodoh-dr-muhamad-akmal-mgflash/
- https://malaysiagazette.com/2025/06/23/bakar-karikatur-pm-ums-buat-laporan-polis/
- https://malaysiagazette.com/2025/06/23/bakar-karikatur-pmx-biadab-shafie-apdal-didesak-keluar-kerajaan-perpaduan-zulkarnain/
Jelasnya, sebagai mahasiswa yang terdidik dalam suasana yang berasaskan kesantunan dan intelektualisme, ia tidak sepatutnya diterjemah menerusi tindakan dan perbuatan ekstrem, biadab mahupun menghina mana-mana pihak.
Bahkan katanya, kebebasan bersuara tidak sepatutnya disalahgunakan sehingga menggambarkan tindakan tidak beradab mahasiswa.
“MPPK menghormati prinsip kebebasan bersuara yang diamalkan di kampus dan mengiktiraf peranan mahasiswa sebagai suara intelektual yang bebas untuk menyuarakan pandangan.
“Kebebasan ini merupakan salah satu tunjang penting dalam membina ekosistem demokrasi yang matang dan beradab di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT),” tambahnya.
Dalam pada itu, majlis tersebut memuji dan menghargai tindakan Anwar yang disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak universiti untuk tidak mengambil tindakan keras sehingga menamatkan pengajian mereka yang terlibat sungguhpun menjadi sasaran dalam insiden ini.
Terdahulu, karikatur wajah Anwar dibakar oleh mahasiswa yang menyertai Perhimpunan Gempur Rasuah 2.0 anjuran Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.-MalaysiaGazette
















