Penduduk gigih membawa guni tepung berjalan di sepanjang jalan al-Rashid, Jabalia selepas trak bantuan kemanusiaan dilaporkan memasuki utara Semenanjung Gaza melalui lintasan sempadan Zikim, di tengah-tengah perang berterusan antara Israel dan Hamas pada 17 Jun 2025. Foto AFP.

Oleh: Ismail Hashim Yahaya

DALAM era di mana persepsi mengatasi polisi, istilah ‘gencatan senjata’ semakin kehilangan maknanya. Ia telah berubah menjadi sekadar naratif alat untuk negara dan kuasa besar menetapkan semula reputasi, mengawal kitaran media dan berpura-pura menyahketegangan tanpa mengubah realiti sebenar. Kita kini hidup dalam zaman gencatan naratif: mengagumkan dari segi visual, mudah dimanipulasi secara diplomatik dan seringnya kosong dari segi struktur.

Sejauh manakah pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Iran oleh Amerika Syarikat (AS) tidak dikhanati oleh regim genosid itu?. Presiden AS Donald Trump mengisytiharkannya sebagai “Gencatan Senjata MENYELURUH dan MUKTAMAD” yang akan dilaksanakan dalam masa 24 jam.

Sehingga rencana ini ditulis pengumuman itu tidak disertai dengan pengesahan bersama, tiada syarat penguatkuasaan yang jelas dan langsung tiada mekanisme pemantauan yang sah. Menteri Luar Iran segera menafikan kewujudan sebarang perjanjian formal manakala Israel memilih untuk berdiam diri secara strategik. Di sebalik pengisytiharan dramatik itu, konflik terus membara.

Fenomena ini bukan luar biasa malah ia sudah menjadi pola lazim. Gencatan senjata hari ini bukan lagi simbol perdamaian, tetapi sebahagian daripada pentas persepsi. Dalam medan konflik seperti Gaza, gencatan senjata kerap diisytiharkan secara unilateral, sering kali oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan terselindung.

Ia dilancar bertepatan dengan jadual berita, sidang kemuncak diplomatik atau untuk kepentingan politik domestik. Kejayaannya bukan diukur melalui nyawa yang terselamat tetapi melalui penguasaan naratif. Kita risau sekitanya gencatan senjata telah menjadi pengalihan tumpuan, bukan penyelesaian. Kehancuran struktur kuasa unipolar telah mengakibatkan runtuhnya konsensus naratif global.

Dulu, kuasa hegemon seperti AS boleh menjamin keberkesanan gencatan senjata melalui tekanan diplomatik dan ketenteraan. Kini, dalam dunia multipolar setiap aktor mencipta versi naratifnya sendiri. Kebenaran menjadi relatif dan pemantauan menjadi isu yang sangat dipolitikkan. Gencatan senjata lalu bukan lagi komitmen dua hala, tetapi tuntutan yang saling bercanggah.

Kekaburan dalam gencatan senjata sering kali disengajakan. Pihak bertelagah boleh mendakwa mereka mematuhi gencatan senjata sambil meneruskan operasi rahsia atau membingkai serangan balas sebagai “tindakan mempertahankan diri”. Ini membuka ruang untuk manipulasi naratif, dan mengekalkan kelonggaran strategik tanpa menanggung kos reputasi yang tinggi.

Lihat sahaja kegagalan gencatan senjata Gaza 2025. Perjanjian tiga fasa yang dimediasi oleh AS, Qatar dan Mesir yang sepatutnya membawa petukaran tebusan, laluan bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza yang terbatal dalam sekelip mata. Israel menyambung serangan udara, memetik kenyataan ke atas kegagalan Hamas mematuhi syarat. Hamas pula menuduh Israel memperalat gencatan senjata untuk mengukuh kedudukannya.

Komuniti antarabangsa hanya mampu menyaksikan kemusnahan yang berulang. Dunia hari ini memerlukan literasi gencatan senjata satu pemahaman awam bahawa ia bukan kenyataan media semata-mata. Ia adalah komitmen politik, undang-undang, dan moral yang perlu disokong oleh keikhlasan, ketelusan dan penguatkuasaan.

Gagalnya gencatan senjata di Gaza mahupun situasi semasa Israel–Iran bukan sekadar tragedi geopolitik. Ia adalah amaran bahawa tanpa struktur yang jelas, bahasa perdamaian boleh bertukar menjadi senjata semantik yang merosakkan. Dalam dunia yang dipenuhi maklumat tetapi kekurangan kepercayaan, gencatan senjata menjadi pentas sandiwara, melepaskan batuk di tangga, memasang strategi baharu. Ia mesti diperdalam dengan kejujuran dan dimeterai dengan integriti.

Jika mahu benar-benar bangkit sebagai suara baharu dunia, perjuangannya mesti bermula dengan penguasaan naratif. Malaysia memiliki keupayaan untuk memimpin bukan sekadar sebagai kuasa pertengahan, tetapi sebagai jalan tengah yang bermaruah dalam dunia yang semakin berpecah.

Ini kerana dalam era peperangan naratif, mereka yang menang bukan sahaja yang memiliki senjata terakhir, tetapi yang mampu menyampaikan kebenaran
yang berkekalan. Kita berharap gencatan senjata ini menjadi penghentian perang yang muktamad!

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan bekas pensyarah Universiti Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast