KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) selesai menjalani pengauditan yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), setakat Isnin.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, beliau memberikan tempoh sehingga 30 hari kepada JPJ di seluruh negara untuk menyelesaikan proses audit itu.
“Semalam kita dah mulakan, kita cadangkan 500 syarikat audit akan diaudit untuk syarikat berisiko tinggi.
“Semalam kita sudah mula, semalam lebih kurang 50 syarikat kita telah audit dan keputusannya saya belum dapat lagi.
“Saya bagi tempoh sebulan kepada pasukan saya untuk selesaikan audit 500 syarikat,” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Aedy Fadly berkata, pelaksanaan audit terhadap 500 syarikat KPA dan KPB berisiko tinggi menerusi Ops Khas JISA di seluruh negara bermula, Isnin.
Menurut Aedy Fadly, operasi tersebut dilaksanakan selaras dengan arahan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi menyiasat syarikat pengendali KPA dan KPB supaya mematuhi proses audit yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Fokus utama untuk menilai tahap pematuhan syarikat terhadap aspek keselamatan, penyelenggaraan kenderaan, pengurusan pemandu serta rekod pematuhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
Tindakan itu diambil susulan kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berat yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini, termasuk nahas bas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), 9 Jun lalu. – MalaysiaGazette
















