PUTRAJAYA – Majlis pecah tanah projek pembangunan Kota Madani seluas 41.28 hektar di Presint 19, Putrajaya akan berlangsung pada Khamis ini, menandakan permulaan kepada satu inisiatif berimpak tinggi yang menyasarkan transformasi gaya hidup bandar di pusat pentadbiran negara.
Dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM4 bilion, projek ini dirangka sebagai sebuah bandar pintar berteraskan rakyat, di mana kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan, keselamatan awam dan institusi kewangan akan disepadukan dalam kawasan kejiranan yang mesra pejalan kaki.
Pengarah Urusan Urban SCALE Studio Sdn Bhd, Datin Mazrina Abdul Khalid berkata, pelan induk pembangunan ini berinspirasikan warisan seni bina tempatan yang digabungkan dengan elemen reka bentuk bandar moden bagi mewujudkan persekitaran hidup yang unik dan beridentiti Malaysia.
“Pembangunan Kota Madani akan dipacu oleh visi CHASE yang memberi penekanan kepada persekitaran bandar yang Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Lestari.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengutamakan perancangan mampan tetapi juga merangkumi infrastruktur masa depan yang inklusif dan mesra alam,” katanya dalam satu taklimat kepada media, di sini hari ini.
Hadir sama pada sesi taklimat itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zaliha Mustafa dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadhlun Mak Ujud.
Mazrina menambah, Kota Madani bukan sekadar projek perumahan konvensional, sebaliknya merupakan model pembangunan baharu yang pintar, mampan dan inklusif.
Pembangunan ini akan merangkumi infrastruktur digital canggih, sistem mobiliti hijau serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong gaya hidup bandar rendah karbon dan cekap tenaga.
Ia turut merangkumi kira-kira 10,000 unit kediaman berketumpatan tinggi yang mampu menampung sehingga 35,000 penduduk, berserta pelbagai kemudahan sokongan seperti klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan masjid yang terletak berhampiran zon kediaman – selari dengan konsep bandar bersepadu dan berpaksikan komuniti.
Mazrina turut memaklumkan bahawa projek ini akan merangkumi kuarters kerajaan dan komponen hijau seperti inisiatif kecekapan tenaga yang menjadi teras utama pembangunan Kota Madani.
Projek ini dijangka dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 melibatkan pembinaan kira-kira 3,000 unit kediaman serta sebuah sekolah tinggi berkonsep bangunan bertingkat yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027.
Selari dengan gagasan Madani negara, Kota Madani dijangka mengukuhkan lagi peranan Putrajaya sebagai sebuah bandar masa depan yang bertaraf dunia, inklusif dan berpandangan jauh, berteraskan nilai-nilai kelestarian, kesejahteraan dan inovasi. – MalaysiaGazette
















