PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang mahu mengekalkan nama Kota Madani bagi projek pembangunan kuarters penjawat awam yang dirancang di Putrajaya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr. Zaliha Mustafa berkata, nama Kota Madani bukan sekadar simbolik sebaliknya, mencerminkan iltizam dan visi kerajaan untuk mewujudkan ekosistem hidup yang holistik mampan serta berteraskan nilai-nilai Madani.
“Setakat ini kita bercadang untuk mengekalkan nama Kota Madani, ini adalah hasrat daripada kerajaan hari ini dan khususnya Perdana Menteri sendiri.
“Ia digarap dengan konsep CCT (Connected, Compact & Transit-Oriented) yang sangat menyeru,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, penggunaan nama Madani tidak harus dilihat sebagai bersifat politik semata-mata, sebaliknya sebagai satu konsep pembangunan yang boleh diperluas ke kawasan-kawasan lain di masa depan.
“Yang paling penting adalah konsepnya. Jika kita berjaya laksana di Putrajaya, insya-Allah kita akan perluaskan ke tempat-tempat lain,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa kerajaan menghentikan amalan penggunaan slogan pentadbiran semasa untuk projek pembangunannya yang dikhuatiri akan merugikan wang rakyat jika kerajaan bertukar.
Katanya, adalah lebih baik kerajaan menggunakan nama yang lestari dan tidak berubah untuk projek-projeknya, kerana nama itu akan kekal walaupun pentadbiran bertukar.
Wan Saiful berkata, sebarang dana yang digunakan perlu mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik. – MalaysiaGazette
















