Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap semasa merasmikan Bengkel Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) di Genting Highlands, hari ini

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menyusun semula landskap ekonomi negeri secara lebih mampan, inklusif dan berpaksikan rakyat menerusi Bengkel Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025–2030 (PET30) di Genting Highlands hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, PET30 bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi satu pelan transformasi menyeluruh berasaskan kepada kekuatan sumber negeri, realiti semasa pasaran global, dan aspirasi rakyat.

”Ia dibina di atas tiga paksi utama iaitu kesejahteraan rakyat, tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta.

”Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) yang diketuai oleh Tan Sri Nazir Razak memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju pelaksanaan PET30,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Antara keutamaan PET30 merangkumi pemerkasaan industri agro-makanan, perladangan dan ‘advanced materials’, pembangunan pelancongan alam semula jadi, penjanaan modal insan dan tenaga kerja berkualiti, transformasi wilayah dan pemerkasaan daerah serta pemuliharaan hutan dan biodiversiti sebagai asas ekonomi hijau.

Sementara itu katanya, infrastruktur strategik seperti Gebeng, MCKIP, ECRL, Pelabuhan Kuantan, Pekan Automotive Park dan Lingkaran Tengah Utama (LTU) akan terus dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pelaburan.

Ekonomi hijau turut diberi keutamaan sebagai aset strategik, bukan sahaja dari sudut kelestarian ekologi tetapi juga sebagai enjin pertumbuhan baharu seperti pelaburan karbon dan ekonomi iklim.

Wan Rosdy menekankan bahawa kejayaan PET30 tidak boleh bergantung kepada dokumen dasar semata-mata.

”Ia mesti diterjemah kepada tindakan nyata, dengan pemantauan yang ketat, prestasi berasaskan KPI, dan sinergi rentas agensi,” tambahnya.

PET30 juga akan terus menekankan keadilan sosial, memastikan pembangunan yang seimbang antara bandar dan luar bandar, termasuk kawasan Felda, kampung Orang Asli dan komuniti pedalaman.

Menurutnya keutamaan diberikan kepada akses air bersih, pendidikan berkualiti, perumahan selesa dan liputan digital.

Beliau menyeru kepada semua pihak untuk menjadikan tahun 2025 hingga 2030 sebagai era pelaksanaan, bukan sekadar perancangan.

”Kita mesti keluar daripada zon selesa, bertindak secara tangkas dan bertanggungjawab sebagai arkitek masa depan Pahang yang lebih sejahtera.

”Saya yakin melalui PET30, kita mampu membina masa depan Negeri Pahang yang lebih makmur, lestari dan bersatu padu, demi manfaat seluruh rakyat dan generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast