BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 30 Jun depan untuk sebutan semula kes lelaki warga emas yang didakwa menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dari jagaan ibunya di Kepala Batas, minggu lalu akan dihantar ke Hospital Bahagia bagi penilaian.
Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal membuat keputusan itu selepas tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jaafar Sidek Darus, 63, selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun daripada jagaan yang sah di sisi undang-undang, iaitu ibu kandung mangsa.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan susulan melarikan sebuah kereta jenis Toyota Corolla berwarna coklat dengan nombor pendaftaran PBN 2173 milik seorang lelaki.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di tepi bengkel ZY Auto Service Jalan Penaga di Kepala Batas di sini, jam 5.30 petang pada 20 Jun lalu.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli.
Terdahulu, ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat keliru apabila pada awalnya mengaku tidak bersalah, namun kemudian menukar pendirian dan mengaku bersalah.
Beberapa minit selepas itu, tertuduh sekali lagi mengubah kenyataannya dengan menyatakan bahawa dia bersedia untuk dikenakan hukuman penjara.
Keadaan itu menyebabkan mahkamah terpaksa meneliti kestabilan mental tertuduh sebelum prosiding lanjut dijalankan.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki larikan budak perempuan bisu bersama kereta direman 4 hari
MalaysiaGazette pada Jumaat lalu melaporkan polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun selepas kereta yang dinaikinya dilarikan suspek dari sebuah bengkel kenderaan di Jalan Penaga dekat sini.
Dalam kejadian sekitar jam 5.30 petang, mangsa dikatakan berada di dalam sebuah kereta jenis Toyota Corolla dalam keadaan enjin masih hidup manakala ibunya keluar untuk menghantar minyak hitam kepada bapa mangsa di bengkel tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, suspek berusia 63 tahun itu mempunyai 18 rekod jenayah lampau membabitkan dadah serta jenayah.
“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan namun dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette















