DALAM memenuhi tuntutan tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang serba pantas ini, ramai yang tidak sedar bahawa keletihan yang kita alami bukanlah akibat daripada tidur yang tidak cukup semata-mata. Hakikatnya, rehat datang dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi penentu kepada kesejahteraan fizikal, mental dan emosi kita. Berikut dikongsikan tujuh jenis rehat yang boleh membantu untuk mengelakkan keletihan dan meningkatkan prestasi kita pada tahap terbaik.
1. Rehat fizikal
Tanda-tanda kita perlukan rehat fizikal adalah apabila tubuh kita mengalami keletihan berpanjangan, badan terasa lesu, kerap sakit atau sakit otot. Rehat
fizikal boleh dikategorikan kepada dua iaitu rehat fizikal aktif dan rehat fizikal pasif. Tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam atau tidur sebentar (nap)
adalah berupa rehat fizikal pasif. Manakala rehat fizikal aktif adalah dengan melakukan aktiviti regangan, urutan atau yoga. Dengan melakukan rehat fizikal
ini, badan berupaya pulih dari keletihan dan meningkatkan tenaga individu.
2. Rehat mental
Kesukaran untuk memberi fokus, fikiran kabur, cepat marah atau mudah terganggu menunjukkan tanda yang kita memerlukan rehat emosi. Rehat emosi ini kita boleh lakukan melalui latihan pernafasan, cari tempat yang tenang untuk bermeditasi, berjalan di taman atau mendengar alunan zikir. Sebagai seorang muslim, saat duduk sebentar di sejadah setelah selesai solat juga merupakan salah satu cara yang boleh dilakukan bagi mendapatkan rehat mental.
3. Rehat emosi
Terlalu banyak berfikir, perasaan cemas, kurang keyakinan diri atau terlalu terkesan dengan masalah amat melelahkan emosi individu. Di saat itu, individu
sebaiknya mencari ruang untuk melepaskan tekanan dengan mendapatkan nasihat daripada pakar, berkongsi rasa dengan ahli keluarga atau rakan yang
selesa dan dipercayai atau dengan menulis jurnal. Selain itu, elakkan perbandingan sosial atau mendekati individu yang boleh memberikan “tenaga
negatif” kepada diri kita. Rehat emosi ini sangat penting bagi memastikan keunggulan dan kesejahteraan psikologi individu.
4. Rehat rohani
Apabila diri merasa tidak bermotivasi, terperangkap, tidak bermakna atau hilang arah hidup maka saat ini diri kita amat memerlukan rehat rohani. Ia melibatkan kita mencari makna dan tujuan dalam hidup. Saat ini berdoa dan beribadalah mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Selain itu, kita boleh menyertai program-program keagamaan atau kerja-kerja sukarela yang membantu kita memahami tujuan hidup yang sementara di dunia ini selain mendekatkan diri kita dengan pencipta. Ambillah masa untuk menyusun kembali perancangan hidup kita namun sentiasalah kita ingat bahawa manusia hanya
mampu merancang namun rencana daripada Tuhan adalah sebaik-baik rancangan.
5. Rehat sosial
Pernah rasa sunyi walaupun dikelilingi ramai orang? Saat anda merasa perasaan itu, maka rehat sosial amatlah membantu kita pulih. Individu yang bersifat introvert akan lebih cenderung untuk merasa lelah atau rimas setelah berjumpa dengan ramai orang akibat daripada interaksi sosial ini. Rehat sosial itu bukanlah bermaksud kita mengasingkan diri sepenuhnya tetapi ianya adalah menggalakkan kita memilih dengan bijak individu yang dipilih untuk berkongsi atau meluangkan masa bersama.
Namun, adalah tidak menjadi masalah jika kita memilih untuk bersendiri untuk menikmati masa dan memulihkan tenaga kita. Memilih diri sendiri berbanding orang lain bukan bermakna kita mementingkan diri. Ianya adalah tanda kita mempunyai hak untuk menjaga kesejahteraan mental kita.
6. Rehat deria
Rehat deria diperlukan apabila mata terasa berat, sensitif terhadap bunyi bising atau terganggu dengan rasa dan bau. Cara mendapatkan rehat deria boleh
dilakukan dengan menjauhkan diri seketika daripada skrin, media sosial atau alat elektronik. Habiskan masa ditempat yang tenang, matikan alat-alat
elektronik yang mengganggu atau mengeluarkan bunyi yang kuat. Luangkan masa dengan melakukan aktiviti yang mempunyai interaksi dengan alam semula
jadi juga membantu kita untuk mendapatkan rehat deria yang diperlukan.
7. Rehat kreatif
Kadangkala kita sukar untuk menghasilkan idea atau tiada kreativiti dalam menyiapkan tugasan yang diberikan. Saat ini rehatlah seketika daripada
tugasan harian yang kita lakukan. Pilih untuk keluar seketika menikmati alam semula jadi, mendengar muzik, melukis atau pergilah bercuti bagi merehatkan
minda. Melakukan aktiviti seperti zumba atau menonton persembahan juga antara aktiviti yang boleh membantu anda untuk mendapatkan rehat kreatif.
Kesihatan dan produktiviti tidak bergantung kepada kerja keras semata-mata, tetapi bergantung juga kepada kemampuan diri untuk berehat dengan bijak. Dengan
mengenali jenis rehat yang diperlukan, kita bukan sahaja dapat memperbaiki kualiti hidup, malah dapat mengelakkan tekanan melampau yang boleh menjejaskan
kesihatan mental dan fizikal. Jadikan rehat sebagai satu keutamaan kerana diri kita berhak untuk pulih dan berkembang dengan seimbang.
Oleh: Farhawahidah Ahmad Puad,
Pegawai Belia dan Sukan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)















