PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima sumbangan zakat korporat sebanyak RM200,000 daripada PETRONAS Chemicals MTBE Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Naib Canselor, Prof Dr. Yatimah Alias berkata, langkah tersebut sebagai usaha memperkukuh komitmen terhadap kebajikan mahasiswa melalui kerjasama strategik bersama sektor industri.
“Sumbangan zakat ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Petronas Chemicals MTBE dan disalurkan melalui platform i-Campus Yayasan UMPSA yang ditubuhkan khusus bagi menyelaras pengumpulan dan pengagihan dana kebajikan pelajar.
“Sumbangan ini amat besar maknanya buat pelajar-pelajar kita. Ia membolehkan mereka untuk terus fokus kepada pembelajaran tanpa dibelenggu tekanan kewangan.
“Malah, kehadiran Tuan Fauzamsaari dan pasukan beliau pada hari ini melambangkan keprihatinan industri terhadap masa depan generasi muda,” ujarnya.
Yatimah juga menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan pihak industri, khususnya Petronas Chemicals MTBE yang disifatkan bukan sahaja sebagai rakan strategik universiti malah sebagai pemacu dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan.
Majlis Penyerahan Wakalah Zakat i-Campus kepada pelajar asnaf UMPSA itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals MTBE, Fauzamsaari Geran kepada Naib Canselor UMPSA di Dewan Bankuet Canseleri Tun Abdul Razak, Kampus UMPSA Pekan hari ini.
Beliau berkata, setakat pertengahan tahun 2025, UMPSA telah menyalurkan RM423,900 dalam bentuk bantuan zakat kepada seramai 675 pelajar asnaf yang layak.
Manakala tahun sebelumnya, sebanyak RM2.2 juta telah diagihkan kepada pelajar melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk dermasiswa, biasiswa, bantuan kesihatan, dan sokongan kecemasan.
Menurutnya inisiatif Yayasan UMPSA digerakkan secara sistematik dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), dan ia bertujuan memastikan tiada pelajar yang tercicir disebabkan kekangan kewangan.
“Kami amat mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada pihak industri, agensi, badan bukan kerajaan dan individu perseorangan untuk turut serta menjayakan agenda ini.
”Petronas Chemicals MTBE telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana industri boleh menyumbang secara langsung kepada pembangunan pendidikan negara,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fauzamsaari Geran turut menegaskan bahawa komitmen Petronas bukan sahaja dalam menghasilkan produk berkualiti tinggi, tetapi juga dalam memainkan peranan aktif sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.
“Kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan untuk masa depan negara. Dengan membantu pelajar asnaf ini, kami berharap mereka dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















