Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang mengenai perkembangan terkini operasi di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 JUNE 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang berjumlah RM11 juta dalam bentuk mata wang digital (digital currency) dalam siasatan membabitkan dakwaan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya.

Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung bagaimana wang digital tersebut telah dibelanjakan.

“Kita sedang mengesan bagaimana wang ini telah dikeluarkan dan digunakan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Azam, pihaknya juga akan memanggil kira-kira 10 orang lagi saksi lain bagi membantu siasatan kes melibatkan seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri tersebut.

Setakat ini, ujar beliau, seramai 55 saksi sudah diambil keterangan, manakala sembilan individu sudah ditahan bersabit kes itu.

Selain itu, jelasnya, SPRM juga telah membekukan 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat berjumlah RM156 juta untuk tindakan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan mengambil semula keterangan Tan Sri berkenaan, Azam berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian buat masa ini memandangkan pihaknya sudah berpuas hati dengan keterangan yang diambil sebelum ini.

“Apa yang penting di sini ialah keterangan-keterangan (pihak) lain untuk membantu siasatan.

“Pegawai penyiasat SPRM sedang siapkan fail siasatan dengan mengambil percakapan daripada pihak bank, analisa kewangan yang diperolehi.

“Saya beri masa kepada pegawai saya maksimum untuk siapkan dua bulan sahaja,” katanya.

SPRM sebelum ini merekodkan keterangan seorang individu bergelar Tan Sri sebanyak tiga kali di kediamannya di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur bersabit siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Terdahulu, SPRM mengesahkan menyita aset dalam negara bernilai RM141 juta, selain mengesan aset di luar negara berjumlah RM15 juta yang turut dikaitkan dengan siasatan kes tersebut.

Sitaan itu membabitkan akaun individu (RM4.5 juta); akaun syarikat (RM33 juta); kondominium mewah dan tanah (RM24.5 juta); jam tangan mewah (RM26 juta); sembilan unit kereta mewah (RM7.65 juta) dan barangan kemas serta berlian (RM10 juta).

Barangan lain yang disita adalah tas tangan mewah (RM6 juta); jongkong, patung emas dan syiling emas yang dianggarkan bernilai RM3 juta serta empat ekor kuda bernilai RM400,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast