Hendri Hamsah

KUALA LUMPUR – Golongan mahasiswa tidak wajar dihukum hanya kerana menggunakan hak demokrasi untuk menyuarakan pandangan, apatah lagi jika mesej yang dibawa adalah menolak gejala rasuah yang semakin merosakkan struktur pentadbiran dan ekonomi Sabah.

Ketua Pemuda Pas Sabah, Hendri Hamsah berkata, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai institusi ilmu seharusnya mendidik, bukan menindas suara mahasiswa.

Tegasnya, Pemuda Pas Sabah tidak menyokong sebarang bentuk tindakan provokasi berlebihan atau kekacauan ketika berdemontrasi, namun tetap berdiri teguh dalam prinsip bahawa mahasiswa harus diberi ruang untuk bersuara secara aman dan bertanggungjawab.

“Tindakan mengenakan hukuman disiplin berat seperti penggantungan atau pemecatan hanya akan menanam ketakutan dan membunuh idealisme anak muda yang cintakan integriti dan keadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan kemungkinan UMS akan menggantung 13 mahasiswanya di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) susulan penglibatan mereka dalam satu demonstrasi baru-baru ini.

Kesemua mahasiswa itu dikenal pasti terbabit dalam perhimpunan ‘Gempur Rasuah 2.0’ yang diadakan di Kota Kinabalu hujung minggu lalu.

Himpunan aman yang disertai kira-kira 100 individu itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila pesertanya didapati turut membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Hendri mengingatkan, isu rasuah yang dibangkitkan mahasiswa terlibat dalam himpunan aman terbabit bukan perkara kecil, sebalikbya adalah barah yang membelenggu kemajuan Sabah.

“Bila anak muda mula bangkit menolaknya, kita seharusnya mendengar dan mendukung bukan menyekat dengan ugutan perundangan dan tindakan tatatertib yang melampau,” katanya.

Sehubungan itu, tambah Hendri, pihaknya menggesa pihak pengurusan UMS menarik balik sebarang rancangan untuk menggunakan AUKU ke atas mahasiswa terbabit dan sebaliknya membuka ruang dialog terbuka dan konstruktif.

Dalam masa sama, beliau menyeru Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) campur tangan bagi memastikan AUKU tidak terus menjadi alat membungkam suara mahasiswa.

“Anak muda Sabah sedang menunjukkan jalan untuk menolak rasuah, menuntut integriti dan kestabilan ekonomi Sabah. Tugas kita ialah membimbing mereka, bukan membisukan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast