Gambar hiasan.

APABILA memperkatakan inflasi apa yang sering terbayang di fikiran ialah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mampu mengurangkan kuasa membeli pengguna dengan pelbagai faktor yang menyebabkannya berlaku.

Antara penyebab berlakunya inflasi ialah peningkatan permintaan, kenaikan kos pengeluaran, dasar kerajaan dan faktor luaran seperti keadaan ekonomi global.

Pada hakikatnya, harga yang telah meningkat tidak akan turun kepada harga sebelum itu manakala harga kawalan seperti minyak petrol RON95 dijual pada kadar yang ditetapkan kerajaan tanpa mengira harga semasa pasaran yang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi dalam usaha memastikan kebaikan rakyat kebanyakan terpelihara.

Harga yang telah meningkat tidak akan turun kepada harga sebelum itu dan langkah yang diambil bagi mengurangkan beban rakyat ialah memberi subsidi kepada sesuatu barangan.

Bagaimanapun selagi mana subsidi diberi selagi itu kerajaan terpaksa menanggung bebanan kewangan dan apa yang menjadi persoalan ialah adakah subsidi yang diberi itu betul-betul dinikmati oleh mereka yang memerlukannya.

Sudah pasti jika subsidi ditarik ia akan memberi kesan rantaian pada kos kehidupan yang pada akhirnya balik kepada rakyat.

Bagi mengatasi masalah ini, apa yang boleh dilakukan kerajaan ialah menstabilkan kadar inflasi selain meningkatkan keupayaan penduduk Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

Antara langkah jangka pendek yang diambil kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan adalah pemerian bantuan tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi terpilih dan kawalan harga sementara bagi membantu golongan rentan khususnya B40 walaupun ia memberi kesan kewangan kepada negara.

Bagi STR Fasa 2 yang disalurkan pada 24 Mac lalu, sembilan juta penerima yang terdiri daripada 60 peratus rakyat dewasa mendapat bantuan sehingga RM650 manakala pelaksanaan SARA diperluaskan kepada 5.4 juta penerima mulai 1 April lalu, peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada yang akan meningkatkan kuasa membeli.

STR bertujuan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai bersasar yang diberikan kepada rakyat Malaysia mengikut kategori tertentu mankala SARA merupakan sumbangan tambahan kepada penerima STR berstatus miskin dan miskin tegar.

Walaupun kerajaan memperuntukan RM13 billion kepada SARA dan STR pada tahun ini (berbanding M10 billion pada 2024) pada hakikatnya inflasi masih tidak dapat dielakkan, namun terdapat strategi yang boleh diambil oleh rakyat Malaysia untuk mengurangkan kesannya.

Antara yang boleh dilakukan ialah mengawal perbelanjaan dengan memperincikan apa yang dibelanjakan dengan menyemak semula perbelanjaan bulanan dan mengenal pasti pebelanjaan yang boleh dikurangkan tanpa memberi kesan kepada peruntukan keperluan asas seperti menukar jenama barangan yang jual pada harga berpatutan, mengurangkan makan di luar atau menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kos bahan api dan tol.

Menyedari petrol merupakan antara barangan penting, kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat mengekalkan harga RON95 pada RM2.05 seliter Ketika ini malah kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menikmati subsidi bahan bakar itu walaupun ia rumat untuk dialksanakan.

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijadualkan bermula tahun ini dijangka memberi kesan langsung terhadap kadar inflasi negara.

Memandangkan RON95 menyumbang sekitar 5.5% kepada Indeks Harga Pengguna (IHP), sebarang pelarasan harga bahan api ini berpotensi menjejaskan kos sara hidup rakyat. Ia boleh meningkatkan tekanan terhadap kos pengangkutan dan rantaian bekalan, sekali gus mempengaruhi harga barangan harian.

Selain itu, kerajaan turut mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebelum ini dan mengekalkan kadar tol empat lebuh raya kendalian Amanat Lebuhraya Rakyat (ALR) membabitkan Lebuhraya KESAS, Sprint, SMART dan LDP untuk tempoh 10 tahun sehingga tempoh konsesi masing-masing berakhir kerana tidak mahu menjejaskan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menerusi semua usaha yang dilakukan itu, kerajaan menjangkakan kadar inflasi masih mampu dikawal.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan kadar inflasi bagi tahun ini kekal dalam lingkungan dua peratus hingga 3.5 peratus dengan mengambil kira pelaksanaan subsidi bersasar RON95.

Namun hasilnya berbaloi kerana menerusi penjimatan yang diperoleh akan dipulangkan semula kepada rakyat dengan pembinaan infrastruktur, bantuan tunai dan sebagainya bagi kesejahteraan mereka.

Sebagai kesimpulan, bagi mengimbangi inflasi dan kos sara hidup memerlukan toleransi kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan penduduk negara ini.

Kerajaan telah berkorban dengan melaksanakan pelbagai bantuan dan sebagai rakyat yang bertanggungjawab mereka juga perlu menimbang untuk melakukan sedikit pengorbanan dalam kehidupan masing-masing bagi mengimbangi antara inflasi dan kos sara hidup.

Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, suka atau tidak pengorbanan perlu dilakukan bagi mengharungi masa depan yang lebih mencabar.

Kini terpulang kepada masing-masing untuk menentukannya, tepuk dada tanya selera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast