Salah satu daripada tiga bot Vietnam dan 30 kru yang ditahan kerana menceroboh perairan negara

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu mengambil masa 64 jam untuk membawa pulang tiga vesel nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, ketiga-tiga vesel terbabit tiba di jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Menurut beliau, proses membawa pulang mengambil masa panjang berikutan keadaan laut yang bergelora serta kerosakan enjin pada salah satu vesel.

“Tiga vesel bersama kru ditahan jam 5 petang Selasa lalu ketika berada 152 batu nautika timur Kuala Terengganu. Mereka dikesan oleh kapal peronda Maritim ketika rondaan Op Naga dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kru terbabit cuba melarikan diri namun berjaya dihalang oleh kapal peronda sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua vesel terbabit melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen sah,” katanya.

Seramai 31 kru termasuk tiga tekong berusia antara 23 hingga 50 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.

Menurut Maritim Malaysia, siasatan awal mendapati dua daripada vesel itu berperanan sebagai vesel induk manakala sebuah lagi digunakan sebagai vesel bekalan, membawa muatan kira-kira lapan tan ikan campur dan 3,000 liter diesel.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM4.5 juta.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta terhadap tekong dan sehingga RM600,000 bagi setiap kru, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga vesel juga berdepan tindakan pelucuthakan kepada kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast