KUALA LUMPUR – Kesemua pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Terengganu yang didapati terlibat dalam buli, baru-baru ini, diarahkan dibuang daripada sekolah berkenaan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya, malam ini.
“Semua enam pelajar MRSM di Terengganu yang didapati membuli secara fizikal telah diarahkan dibuang daripada Maktab. Tiada kompromi atas apa jua alasan. #YouTouchYouGo,” katanya.
https://malaysiagazette.com/2025/06/26/polis-kenal-pasti-lima-suspek-buli-pelajar-mrsm/
Terdahulu Malaysia Gazette melaporkan, polis telah mengenal pasti lima pelajar tingkatan tiga yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli terhadap seorang pelajar tingkatan dua di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Besut, Terengganu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut.
Tambah beliau, pihaknya sebelum ini telah menerima laporan daripada seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas mendakwa dibuli di asrama putera sekolah berkenaan pada malam Selasa lalu.
Mangsa mendakwa diarahkan untuk duduk dalam kedudukan separa mencangkung dengan selipar diletakkan di atas kepala selama kira-kira 40 minit oleh pelajar senior sekitar pukul 11.30 malam.
Selain itu, mangsa turut mendakwa dia ditumbuk di bahagian perut dan ditampar di muka. -MalaysiaGazette
















