Kalsom Noordin

MELAKA – Pihak berkuasa mengesahkan kejadian seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang mengalami pendarahan di kepala namun bukan akibat didera sebaliknya terkena kerusi dibaling bapanya kerana menyediakan air kopi yang tidak panas.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, ketika kejadian, ibu kanak-kanak berkenaan sedang bekerja dan hanya murid berkenaan serta bapanya berada di rumah.

“Bapanya kemudian menyuruh kanak-kanak itu menyediakan air kopi O panas namun ia tidak panas menyebabkan lelaki itu berang kerana anaknya menjawab air sudah dipanaskan.

“Tidak percaya dan marah dengan penjelasan anaknya itu, lelaki terbabit mencapai kerusi dan membalingnya sehingga terkena ke kepala mangsa,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu kemudian membersihkan luka di kepala anaknya itu sebelum murid berkenaan menceritakan masalah itu kepada ibunya selepas wanita itu pulang dari tempat kerja.

“Mangsa kemudian di bawa ke klinik di Cheng namun doktor terpaksa merujuknya ke Hospital Melaka kerana klinik terbabit tidak mempunyai kemudahan x-ray dan Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (CT Scan).

“Hasil imbasan CT n x-ray yang dibuat di hospital selepas itu mendapati tiada sebarang kecederaan serius terhadap mangsa,” katanya.

Hospital Melaka

Mengulas lanjut Kalsom berkata, pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan ke rumah keluarga berkenaan Isnin ini untuk merakamkan keterangan sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun cedera parah akibat pendarahan di kepala dipercayai didera bapanya di rumah mereka di Banda Hilir, di sini, Khamis lalu.

Menurut sumber, kejadian terbongkar selepas pihak sekolah di Tengkera menerima laporan itu daripada keluarga murid tahun lima itu pada hari yang sama.

Menurutnya difahamkan, kejadian itu bukanlah yang pertama kerana murid berkenaan juga pernah dipukul bapanya sebelum ini namun tidak mengakibatkan kecederaan serius.

“Murid terbabit pernah mengadu ke pihak sekolah dia dipukul di kaki dan badan sehingga menyebabkan kesan lebam sebelum didera dengan lebih teruk kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast