KUALA LUMPUR– Pelaksanaan sistem pengurusan sifar sisa, isu penjaja serta masalah tempat letak kereta antara perkara utama yang dibangkitkan dalam sesi Dialog Bandar Raya bersama penduduk sekitar Bukit Bintang anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sesi yang berlangsung di bawah inisiatif pembangunan komuniti DBKL itu memberi ruang kepada wakil-wakil komuniti setempat, termasuk Majlis Perwakilan Penduduk serta pertubuhan bukan kerajaan, untuk menyuarakan kebimbangan mereka secara terbuka.
Menurut Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin, sebanyak 16 pandangan dan aduan diterima sepanjang sesi berlangsung.
Sesi dialog itu dijalankan sebagai sebahagian daripada pendekatan “turun padang DBKL dalam merapatkan jurang komunikasi antara agensi bandar raya dan penduduk.
“Pagi ini kita berkesempatan untuk mendengar secara langsung. Tapi kita ada juga saluran yang lain. Macam ni secara lisan tetapi jika ada pandangan-pandangan lain, orang ramai boleh kemukakan surat secara bertulis,” katanya.

Sesi itu turut menyentuh isu kegiatan pelacuran yang masih berleluasa di sekitar Jalan Petaling walaupun beberapa operasi penguatkuasaan telah dijalankan.
“DBKL bertindak dalam ruang kuasa kami, namun isu pelacuran ini melibatkan agensi lain yang mempunyai kuasa lebih khusus. Ia bukan boleh diselesaikan secara tunggal.
“Penduduk juga membangkitkan isu infrastruktur termasuk penyelenggaraan siar kaki, laluan berbumbung di kawasan sekolah, tempat letak kereta yang terhad serta kesesakan lalu lintas terutama ketika waktu sekolah.
“Cadangan daripada sekolah-sekolah di kawasan tersebut seperti SK Jalan Batu telah dikumpulkan dan akan disemak oleh Jabatan Perancang Bandar serta Jabatan Kerja Awam DBKL,“ katanya.
Program Dialog Bandar Raya itu turut menyentuh cadangan penambahbaikan reka bentuk sistem saliran agar sampah tidak mudah memasuki longkang serta isu pokok besar yang dikatakan mengancam keselamatan di kawasan sekolah.
“DBKL akan menilai semula semua cadangan yang dikemukakan berdasarkan keperluan dan kemampuan, dan pada masa yang sama merujuk isu yang berada di luar bidang kuasa kepada agensi berkaitan, “ jelasnya – MalaysiaGazette
















