Pertukaran dokumen perjanjian antara UMT dan juga industri penyumbang dana penyelidikan.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melakar pencapaian membanggakan apabila menerima geran penyelidikan berjumlah lebih
RM1.3juta menerusi Skim Geran Penyelidikan Program Padanan Industri (iMAP) yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun lalu.

Penganugerahan geran itu memperkukuh lagi peranan UMT sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan berkaitan sumber laut dan akuakultur tropika.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya berkata, geran itu merupakan bukti kepercayaan kerajaan terhadap kepakaran penyelidik UMT yang aktif membangunkan penyelidikan berteraskan keperluan industri serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“Penganugerahan geran penyelidikan iMAP ini sangat signifikan dalam memperkukuhkan peranan UMT sebagai institusi peneraju dalam bidang penyelidikan marin dan akuakultur. Ia juga selari dengan pengiktirafan UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Tumpuan (HICOE) dalam bidang akuakultur yang menjadi tunjang dalam menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.

“Kita percaya  melalui kolaborasi strategik bersama industri, hasil penyelidikan ini akan diterjemahkan kepada teknologi baharu yang boleh digunapakai secara langsung oleh penternak dan pengusaha akuakultur tempatan, sekali gus meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran makanan laut negara secara mampan” jelas beliau.

Melalui pembiayaan geran iMAP, penyelidik UMT akan meneroka penyelesaian inovatif termasuk pembangunan teknologi ternakan berasaskan sistem pintar, pemakanan akuakultur mesra alam serta biosekuriti ternakan bagi mengurangkan kematian haiwan ternakan dan meningkatkan produktiviti.

Dalam masa yang sama, Akuatrop UMT yang berstatus HICOE turut memainkan peranan penting dalam menggembleng penyelidikan bersasar ke arah pengurangan kebergantungan kepada import makanan laut selain menyokong pembangunan teknologi pengeluaran dan pemprosesan hasil laut secara lestari.

Zamri turut menekankan kerjasama berterusan antara UMT dan pihak industri akan membuka lebih banyak ruang penyelidikan yang bersifat translasi dan memberi
manfaat langsung kepada masyarakat dan negara.

“Terima kasih kepada pemain industri yang menyumbang dalam skim geran padanan ini iaitu Balavat Bayu Sdn Bhd, Serandu Akuaponic Sdn Bhd, Entomal Biotech Sdn Bhd dan Deep Blue Sea Aquaculture Sdn Bhd.

“UMT komited untuk terus menjadi pelopor kepada usaha menjamin keterjaminan makanan negara menerusi penghasilan teknologi dan pengetahuan yang boleh diguna pakai di peringkat industri serta menyumbang kepada sasaran Keluarga Malaysia untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) bagi sumber makanan laut,” katanya.

Penganugerahan itu dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak projek kerjasama universiti-industri yang memberi nilai tambah kepada ekonomi dan kelestarian sumber negara seiring matlamat Malaysia ke arah negara maju dan berdikari dalam aspek keselamatan makanan menjelang tahun 2030.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast