KUALA LUMPUR – Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota bakal membuat kemunculan semula dalam kejohanan badminton kompetitif di Piala Lin Dan yang akan berlangsung di Xian, China dari 25 hingga 27 Julai ini.
Bintang berusia 30 tahun dari Jepun itu turut ditampilkan sebagai salah satu figura utama dalam poster promosi kejohanan yang diterbitkan oleh penganjur.
Kejohanan tersebut, yang diasaskan oleh lagenda badminton dan juara dua kali Sukan Olimpik Lin Dan, menawarkan jumlah hadiah lumayan sebanyak 850,000 yuan (kira-kira RM500,000).
Selain Momota, beberapa pemain antarabangsa lain turut dijangka menyertai kejohanan ini, termasuk pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2019 Kantaphon Wangcharoen, Cho Geon-yeop dari Korea Selatan, Nhat Nguyen dari Ireland dan Riki Takei dari Jepun.
Malaysia juga akan diwakili dalam kejohanan ini oleh Tan Jia Jie dan Cheam June Wei.
Momota pernah menggemparkan dunia badminton dengan kehebatannya yang luar biasa pada tahun 2019, apabila memenangi 11 gelaran dan hanya tewas enam kali daripada 73 perlawanan sepanjang tahun itu.
Beliau juga menjuarai dua gelaran dunia berturut-turut pada tahun 2018 (Nanjing) dan 2019 (Basel).
Namun, kerjayanya merosot selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2020 selepas menjuarai Masters Malaysia sekali gus menjejaskan prestasinya secara serius.
Akhirnya, bintang Jepun itu membuat keputusan sukar untuk bersara pada April tahun lalu pada usia 29 tahun. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















