KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) bertekad menghapuskan budaya buli dalam kalangan pelajar institusi pendidikan di bawahnya dengan menetapkan sasaran ‘Sifar Buli’.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan budaya toksik itu akan dihapuskan dan tidak akan menjadi ikutan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada masa akan datang.
“Tindakan membuli bukan DNA MRSM. Ia akan dihapuskan hingga ke akar umbi. Kami tekankan prinsip You Touch, You Go.
“Tiada tolak ansur kepada sesiapa yang terlibat secara langsung atau bersubahat,” ujarnya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau menyatakan demikian selepas melakukan sesi `Terjah’ MRSM Besut, Terengganu setelah merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Dewan Uthmaniyah, Pulau Lima.
Sesi itu dilakukan tanpa pengetahuan pihak pengurusan maktab bagi meninjau sendiri maktab yang terkait dengan insiden buli beberapa hari lalu.
Asyraf Wajdi yang kecewa dengan insiden berkenaan mengambil peluang berjumpa dengan pelajar-pelajar di surau dan menitip beberapa pesanan dan peringatan kepada mereka.
Dalam hantaran itu, beliau memuji tindakan pantas warden bertugas bergegas ke tempat kejadian dan sempat menyaksikan sendiri salah seorang pelajar melempang seorang daripada mangsa.
“Tiada tindakan pengetua mahupun warden dan guru-guru yang cuba menutup kes ini. Saya sentiasa beri amaran keras, jika ada pihak yang menutup atau menyorok kes ini di bawah permaidani, tindakan akan diambil,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau memaklumkan, enam pelajar MRSM Besut dibuang serta-merta selepas didapati terbabit dalam kejadian buli fizikal terhadap seorang pelajar tingkatan dua, baru-baru ini.
Tindakan tegas itu diambil selepas laporan polis dibuat berhubung insiden buli membabitkan seorang pelajar berusia 14 tahun yang didakwa didera di asrama putera.
Berdasarkan keterangan mangsa, dia diarahkan membuat kedudukan separa mencangkung sambil diletakkan selipar di atas kepala selama kira-kira 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar sehingga menyebabkan mangsa mengalami sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan. – MalaysiaGazette
















