TASEK GELUGOR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat masih meneruskan sesi kaunseling kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat dalam nahas ngeri membabitkan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, selain memberi tumpuan kepada pelajar yang trauma, kaunseling turut diberikan kepada ahli keluarga mereka yang turut terkesan secara emosi susulan kejadian tersebut.
“Semalam saya telah melawat ustaz dan ustazah (dua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza) dan jelas mereka masih mengalami trauma.
“Kita akan terus pantau keadaan mereka (mangsa nahas UPSI),” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Noraini merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Kepala Batas di Kubang Menerong di sini, hari ini.
Tambah Noraini, bagi mangsa yang mengalami kecederaan kekal, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini dalam proses mengumpulkan data mereka untuk mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta bantuan berkaitan.
“Kita perlu mendapatkan maklum balas daripada pihak doktor terlebih dahulu sebelum proses pengeluaran kad OKU dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan dengan tragedi kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak
Tragedi menyayat hati itu meragut 15 nyawa pelajar UPSI, manakala 29 lagi cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang.
Daripada jumlah itu, 13 mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas. – MalaysiaGazette
















