Para graduan Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia hadir pada Majlis Konvokesyen Kali ke- 5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2025.

SHAH ALAM – Sejak ditubuhkan pada 2018, Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia telah melahirkan lebih 5,000 yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40 dan asnaf.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata, program ini sekaligus membuka ruang kerjaya serta meningkatkan taraf hidup belia daripada latar belakang kurang berkemampuan.

Menurutnya, kejayaan akademi itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkasa bakat muda melalui latihan kemahiran yang inklusif dan mudah diakses.

“Kita banyak bekerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri di seluruh Malaysia untuk masuk ke kampung-kampung dan kawasan luar bandar bagi menyebarkan maklumat mengenai program vokasional ini kerana tiada syarat khas untuk menyertainya.

“Yang penting adalah minat untuk bekerja, keinginan belajar dan kesungguhan berusaha,” katanya dalam sidang media sempena Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia Kali Ke-5 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang (tengah) hadir pada Majlis Konvokesyen Kali ke- 5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2025.

Jelas Azmir, program di bawah akademi tersebut berkonsepkan model 70 peratus latihan praktikal di restoran dan 30 peratus teori, mengikut sistem latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), dengan tempoh pembelajaran selama 18 bulan.

“Graduan akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 atau 4, selain peluang melanjutkan ke Diploma Kemahiran Malaysia (DKM),” katanya lagi.

Tambah Azmir, menariknya pelatih yang menyertai akademi berkenaan menerima keistimewaan seperti pekerja lain dengan pelbagai kemudahan iaitu elaun bulanan setara gaji minimum negara, makanan percuma serta perlindungan insurans perubatan.

“Konsep terbuka yang kita amalkan menjadikan program ini inklusif. Ia tidak hanya melatih kemahiran teknikal, tetapi juga membentuk karakter, etika kerja dan daya tahan,” tambah Azmir.

Mengulas lanjut katanya, lebih 80 peratus graduan memilih untuk terus bekerja dengan McDonald’s selepas tamat latihan, menunjukkan keberkesanan program dalam menyediakan laluan kerjaya yang stabil dan mampan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast