KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) sebanyak 5.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu memaklumkan, ia melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM423 juta kepada 338,320 pemegang unit yang kini memiliki sebanyak 8.12 bilion unit.
Katanya, pengagihan pendapatan ASB 3 Didik ini menyumbang kepada jumlah pulangan sebanyak 5.25 peratus mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank sebanyak 2.51 peratus, dengan kelebihan 274 mata asas.
Sehingga 19 Jun 2025, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM539.10 juta.
Dana tersebut berjaya mengekalkan pembayaran dividen sebanyak 5.25 sen seperti tahun sebelumnya, walaupun berdepan dengan tempoh yang jauh lebih mencabar akibat persekitaran ekonomi global dan pasaran modal yang sangat tidak menentu yang berpunca daripada perubahan ketara dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang meningkat.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen PNB dalam menyokong matlamat kewangan jangka panjang pelabur Bumiputera melalui pengurusan yang berdisiplin dan proaktif.
“Dana ini telah menjana sebahagian besar pendapatannya daripada keuntungan direalisasi dan pendapatan dividen melalui gabungan pelaburan ekuiti tempatan dan global.
“Menyedari kepentingan kestabilan pendapatan, kami juga telah mempelbagaikan pelaburan ke dalam Aset Pendapatan Tetap Global, bagi memastikan aliran pendapatan yang stabil dan boleh dipercayai untuk menyokong kestabilan kewangan pelabur, seiring dengan keperluan pelabur muda yang sedang meningkat dan pelabur setia kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pencapaian tersebut mencerminkan pendekatan pelaburan berdisiplin PNB, yang disandarkan pada pengurusan portfolio yang kukuh, pengawasan risiko yang proaktif, dan penilaian prestasi yang berterusan.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.
Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2025.
Urus niaga bagi ASB 3 Didik di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, telah digantung sementara dari 27 hingga 30 Jun 2025 bagi tujuan pengiraan agihan pendapatan.
Pemegang unit boleh menyambung semula urus niaga melalui portal myASNB (www.myasnb.com.my), aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai 2025. -MalaysiaGazette















