BEIJING – China telah menarik balik larangan import makanan laut dari kebanyakan wilayah di Jepun, sekali gus memulihkan sebahagian daripada pertikaian selama bertahun-tahun berhubung cara Tokyo mengendalikan air sisa nuklear.
China dan Jepun merupakan rakan dagangan utama, namun hubungan antara kedua-dua negara telah renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh persaingan wilayah dan perbelanjaan ketenteraan yang meningkat.
Pendudukan kejam Jepun di beberapa bahagian China sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua terus menjadi isu sensitif, dengan Beijing menuduh Tokyo gagal menebus kesalahan silamnya.
Pada tahun 2023, Jepun mula melepaskan secara berperingkat air sisa yang telah dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.
Langkah itu disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dan pengendali loji tersebut, TEPCO, menyatakan bahawa semua unsur radioaktif telah ditapis kecuali tritium, yang berada dalam paras selamat.
Namun, tindakan itu menerima kritikan hebat dari Beijing yang kemudian mengenakan larangan import makanan laut dari Jepun. Rusia turut mengambil langkah serupa selepas itu.
Menurut kenyataan Pentadbiran Am Kastam China pada Ahad, sampel daripada pemantauan jangka panjang terhadap air tercemar nuklear dari Fukushima “tidak menunjukkan sebarang keabnormalan”.
Sehubungan itu, China “memutuskan untuk menyambung semula secara bersyarat” import makanan laut dari Jepun, kecuali dari 10 daripada 47 wilayah negara itu — termasuk Fukushima dan Tokyo — yang kekal di bawah larangan.
Kerajaan Jepun menyambut baik keputusan itu, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet, Kazuhiko Aoki, kepada pemberita di Tokyo.
Namun, Jepun “akan tetap mendesak pihak China agar menarik balik sepenuhnya sekatan import makanan laut dari 10 wilayah yang masih terlibat,” tambahnya.
Menteri Pertanian Jepun, Shinjiro Koizumi, turut menyifatkan langkah China itu sebagai “satu pencapaian besar”.
Pada tahun 2011, satu gempa bumi besar telah mencetuskan tsunami dahsyat yang menenggelamkan loji nuklear Fukushima dan menyebabkan tiga daripada enam reaktornya mengalami kerosakan teruk (meltdown).
China secara lantang menentang pelepasan air sisa yang telah dirawat itu, dengan menganggapnya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dari segi alam sekitar. Namun pada September tahun lalu, China menyatakan bahawa ia akan “menyambung semula secara berperingkat” import makanan laut dari Jepun.
Syarikat-syarikat pengeluar yang sebelum ini menggantung perdagangan perlu memohon semula pendaftaran di China dan akan dikenakan pengawasan “secara ketat”, menurut kenyataan kastam China pada Ahad. -AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















