Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sabah akan meneliti kedudukan semasa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu yang didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini.

Dalam masa sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang dan tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan bersabit kes itu.

Menurut beliau, pihaknya menghormati undang-undang dan akan membiarkan proses undang-undang itu berjalan mengikut prosedur yang sepatutnya.

“Kita juga komited untuk menegakkan integriti serta akauntabiliti dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan kerajaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Awal hari ini, dua ADUN Sabah dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu pada 2023.

ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy serta ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.

Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di Kota Kinabalu pada 2 petang, 6 Mac 2023.

Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan pula didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di Kota Kinabalu pada 11 malam, 12 Mei 2023.

Sementara itu, Jiann Cheing, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad Suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast