Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat sekaligus menyaksikan beliau kembali menyertai badan induk itu.

Perkembangan itu diumumkan FAM selepas diputuskan dalam Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 hari ini.

FAM menerusi kenyataan memaklumkan, pelantikan Hamidin sebagai Presiden Kehormat FAM adalah berdasarkan kredibiliti, pengalaman serta sumbangan besarnya dalam pembangunan bola sepak tanah air dan antarabangsa selama lebih 30 tahun.

“Artikel 22 Statut FAM memperuntukkan bahawa Kongres FAM boleh menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada mana-mana individu yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak.

“Bagi gelaran Presiden Kehormat FAM, individu berkenaan pernah memegang jawatan Presiden FAM manakala bagi Ahli Kehormat FAM, individu berkenaan pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Gelaran ini diberikan atas penamaan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM dan individu berkenaan boleh menghadiri Kongres FAM serta menyertai perbahasan namun tidak mempunyai hak untuk mengundi,” demikian menurut FAM.

Untuk rekod, Kongres FAM pada 2014 menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah yang berkhidmat dengan penuh dedikasi sebagai Presiden FAM selama tiga dekad dari 1984 hingga 2014.

Ini bermakna Hamidin yang pernah memimpin FAM dari 2018 hingga 2024 menjadi individu kedua dilantik sebagai Presiden Kehormat badan induk itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast