BUTTERWORTH – “Kami minta jaket keselamatan kerana ramai anak kecil tapi dia (pemandu bot) tak nak bagi atas alasan jaket basah selain hampir tiba di resort”.
Itu kata S. Sanggetha, 39, yang masih dalam fasa menerima hakikat kehilangan suaminya, S. Arumugam, 40, dan anak bongsunya, Sarrvihka, 3, dalam tragedi bot terbalik di perairan Pulau Perhentian Besar, Terengganu pada Sabtu lalu.
Menceritakan detik kejadian, Sanggetha berkata, dia, suami serta dua anak perempuan mereka ke Pulau Perhentian bersama tiga lagi keluarga yang merupakan rakan sekolah lama suaminya, menjadikan keseluruhan kumpulan seramai 15 orang terdiri daripada lapan dewasa dan tujuh kanak-kanak.
Jelasnya, mereka menginap di Tuna Bay Resort dan menaiki bot pulang dari Long Beach sekitar pukul 9 malam selepas melihat cuaca mula gelap dan berangin.
Dalam perjalanan pulang, mereka beberapa kali meminta jaket keselamatan daripada pemandu bot kerana risau dengan keadaan ribut dan ombak kuat namun ditolak dengan alasan semua jaket sudah basah.

“Bukan saya seorang, suami dan rakan-rakan lain pun minta (jaket keselamatan) tapi dia (pemandu bot) tetap tak bagi dengan alasan perjalanan hampir sampai antara 10 hingga 15 minit sahaja.
“Namun sebaik hampir tiba di kawasan resort dan ketika bot sudah melepasi separuh perjalanan, ombak besar tiba-tiba melanda dan menyebabkan bot hilang kawalan sebelum terbalik.
“Saya berjaya keluar dari bahagian bawah bot selain memegang erat anak sulung (Hirsshika, 9 tahun) walaupun saya tak tahu dia hidup ke tak. Selain kami tengglam timbul disebabkan saya tak tahu berenang,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Taman Bayu Aman di sini hari ini.
Tambah Sanggetha, mereka kemudiannya diselamatkan oleh seorang lelaki yang berada di berhampiran jeti.
“Dia (lelaki di jeti) tarik anak saya dulu, masa itu baru saya tahu anak saya masih hidup. Susulan itu, saya minta pinjam telefon bimbit individu berkenaan dan menelefon rakan kepada suami saya.
“Ketika itu, saya dimaklumkan suami dan anak bongsu kami meninggal dunia bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

“Tragedi itu berlaku sekelip mata dan amat sukar diterima memandangkan percutian itu sepatutnya menjadi kenangan manis buat kami tambahan pula suami nak sambut ulang tahun kelahiran ke-40 bersama kawan-kawan sekolahnya,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat, Sanggetha berkata, dia belum memikirkannya.
“Buat masa sekarang, saya hanya mahu kuat demi anak saya. Apa yang saya harapkan, jangan ada orang lain perlu lalui apa yang saya lalui,” ujarnya.
Media semalam melaporkan tiga individu maut manakala seorang parah dalam kejadian bot karam di Pulau Perhentian.
Difahamkan bot yang dinaiki 16 penumpang tersebut karam akibat dipukul ribut di hadapan sebuah resort di pulau peranginan tersebut. – MalaysiaGazette
















