PUTRA HEIGHTS – Penduduk Putra Heights yang menjadi mangsa tragedi paip gas terbakar pada 1 April lalu terkejut dengan pengumuman laporan siasatan letupan yang berlaku di sini.
Lebih-lebih lagi apabila laporan itu mendedahkan kebocoran dan kebakaran paip gas itu sebenarnya berpunca daripada tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong strukturnya.
Selain itu, siasatan itu turut menolak wujudnya unsur khianat, sabotaj atau kecuaian dalam kebakaran itu.
Mangsa tragedi tersebut, Akmal Ramlee, melahirkan rasa bimbang dengan hasil siasatan tersebut kerana ia menimbulkan tanda tanya tentang keselamatan di kawasan ini.

“Kami semua tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku. Sidang media tadi kata tanah lembut, tapi kami hendak kepastian. Sudah lama kami duduk di sini, jika tanah lembut adakah bangunan sini selamat?
“Kami tidak mahu tragedi ini berulang lagi. Sekarang pun penduduk dah tanggung banyak kerugian kalau perkara sama berulang, makin bertambah susah hidup kami,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Akmal, kerajaan perlu tampil dengan siasatan menyeluruh agar penduduk tidak terus dibelenggu kebimbangan.
“Kami tak nak jawapan tergantung. Jangan biar kami hidup dalam ketakutan. Polis kata tiada unsur kecuaian atau sabotaj tapi kami nak tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan harapan tinggi jaminan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mengesahkan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi menyiasat punca kebakaran dan penyelesaian jangka panjang supaya tragedi sebegini tidak berulang.

Sementara itu, Rohilah Samsudin, 53, yang sudah lebih separuh abad menetap di kampung ini, bersyukur kerana rumahnya sudah siap dibaiki hasil bantuan pihak berkuasa, namun trauma insiden letupan masih menghantui dirinya.
“Alhamdulillah rumah dah siap dibaiki, dah dua minggu lebih kami pindah balik. Terima kasih kepada semua yang bantu, Datuk Bandar, MBSJ, kontraktor tapi rasa takut tu masih ada lagi.
“Bila dengar bunyi-bunyi pelik, teringat balik kejadian tu. Memang trauma tapi syukur dapat duduk semula di rumah sendiri,” katanya.

Beliau menambah, letupan sebelum ini menyebabkan banyak perabot rosak dan rumahnya berlubang di bumbung.
“Banyak barang kami musnah. Perabot, almari, katil… ada yang terpaksa bakar. Macam rumah kena banjir, penuh pasir. Tapi Alhamdulillah, banyak bantuan kami terima masa duduk PPS,” ujarnya.
Penduduk berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu ini dengan memberikan penjelasan tuntas supaya mereka dapat hidup kembali dengan tenang dan selamat.
Sementara itu tinjauan MalaysiaGazette di sekitar lokasi utama letupan iaitu Jalan Harmoni kelihatan lengang tanpa penduduk sebaliknya kerja-kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu sedang giat dijalankan ketika ini.
Rata-rata rumah sudah dikosongkan dan difahamkan penghuni berpindah di tempat tinggal sementara menunggu tempat itu selesai dibaik pulih. – MalaysiaGazette
Insiden Putra Heights: Tiada unsur jenayah, mendapan tanah sejak 25 tahun lalu – Amirudin
















