Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah bas rosak di Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Kulai semalam.

KULAI – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah bas yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 18.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima makluman mengenai kemalangan tersebut pukul 1.50 petang.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah bas jenis Scania yang dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah enjin.

“Kemudian datang sebuah motosikal yang ditunggang lelaki tempatan berusia 21 tahun dari arah belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seng Lee berkata,  hasil siasatan, mangsa dipercayai tidak menyedari bas tersebut sedang berhenti menyebabkannya terlanggar bahagian belakang kenderaan itu.

Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, katanya.

Mayat mangsa katanya, dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi proses bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kulai, bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast