Fahmi bercakap pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

PERMATANG PAUH – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dijangka memulakan mesyuarat awal dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata, selepas penubuhan rasmi, Lembaga Pengasas MMM diberi tempoh enam bulan untuk melaksanakan pemilihan jawatankuasa tetap yang akan mentadbir majlis itu secara menyeluruh.

Bagaimanapun, katanya, proses penubuhan MMM mengambil sedikit masa, khususnya melibatkan aspek penyaluran dana dan urusan pentadbiran awal yang memerlukan penelitian rapi.

“Saya telah mengarahkan ketua setiausaha kementerian untuk meneliti mekanisme paling sesuai bagi memastikan peruntukan kewangan kepada MMM dapat disalurkan dengan lancar.

“Malah, akta yang telah berkuat kuasa membolehkan MMM menerima dana daripada pelbagai sumber yang sah.

“Bagaimanapun, di peringkat kerajaan kita masih belum mengadakan perbincangan menyeluruh kerana mahu memberi ruang kepada mereka (pihak MMM) meneliti perkara-perkara asas terlebih dahulu,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Fahmi melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang di sini.

Rang Undang-Undang MMM telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu dan kemudiannya di Dewan Negara pada 19 Mac sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dan diwartakan secara rasmi.

Akta berkenaan mula dikuatkuasakan pada 14 Jun lalu sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dan dianggap sebagai langkah reformasi penting dalam memperkasa kedudukan serta kebajikan pengamal media tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast