Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual mesra dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (empat kiri) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga kanan) selepas berucap Perhimpunan Bulanan Pejabat Perdana Menteri di Puspanitapuri, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 JUN 2025

PUTRAJAYA – Penjawat awam diminta supaya mempertahankan konsep pembangunan Kota Madani yang diperkenalkan kerajaan meskipun berdepan kritikan dan tohmahan daripada pihak tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu bukan sekadar membina rumah untuk penjawat awam tetapi menampilkan pendekatan baharu yang mementingkan keselesaan, nilai kemasyarakatan dan kelestarian alam sekitar.

“Kita tahu masalah perumahan untuk penjawat awam. Yang menunggu beribu, yang rosak pun beribu unit. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 98 peratus rumah yang rosak telah dibaiki dan diduduki.

“Sebab itu apabila ada usul untuk bangunkan kota baharu ini, kita siapkan fasa pertama dengan 3,000 unit dan fasa kedua melibatkan tambahan 10,000 unit. Ia bukan sekadar rumah biasa. Sekolah, masjid, gimnasium, ruang hijau semua diambilkira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Menurut Anwar, projek berimpak tinggi itu merupakan antara usaha strategik kerajaan untuk menyediakan perumahan berkualiti kepada penjawat awam tanpa membebankan kewangan negara.

Ujarnya, pembangunan Kota Madani dilaksanakan dengan keupayaan pihak swasta tanpa membebankan kerajaan sekali gus menafikan dakwaan kononnya terdapat kepentingan kontraktor tertentu.

“Saya tidak faham mengapa ada yang membantah. Mungkin mereka mewakili kontraktor tertentu atau ada kepentingan lain.

“Tetapi apabila Putrajaya Holdings (PjH) bersama Perbadanan Putrajaya sendiri mampu mengurus pembangunan tanpa melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan, kenapa perlu dipertikai?

“Sebab itu saya seru rakan-rakan dalam perkhidmatan awam untuk fahami fakta, hayati maksud sebenar Kota Madani dan pertahankan inisiatif ini. Jika perlu, kita akan minta Perbadanan Putrajaya turun padang beri penjelasan kepada semua jabatan,”

Projek Kota Madani yang terletak di Presint 19, Putrajaya dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM4 bilion dibangunkan oleh PjH menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Build-Lease-Maintain-Transfer (Bina–Pajak–Selenggara–Pindah, BLMT), tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Pembangunan itu bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, termasuk sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Ia juga dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast