BUTTERWORTH – Seorang pesara tentera meninggal dunia ketika menunaikan solat sunat dhuha di Masjid Jamek Sungai Puyu di sini kelmarin.
Mangsa, Zulkifli Ahmad, 50, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai semasa sedang menunaikan solat oleh orang awam pada pukul 10.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, anggotanya yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuhnya.
Katanya, pasukan perubatan dari Hospital Seberang Jaya yang berada di lokasi kejadian turut mengesahkan mangsa yang beralamat di Pangsapuri Indah, Teluk Air Tawar di sini telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat di HSJ mengesahkan punca kamatian adalah akibat saluran jantung tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau merakamkan ucapan tahziah kepada keluarga mangsa. – MalaysiaGazette
















