Para peserta UMT dan PLANMalaysia menanam pokok pelindung pantai di sepanjang Pantai Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot.

KUALA NERUS – Sebanyak 66 batang pokok pelindung pantai daripada spesies rhu dan ketapang berjaya ditanam di sepanjang Pantai Kampung Tanjung
Gelam, Mengabang Telipot dalam satu program kerjasama strategik antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan PLANMalaysia.

Program itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan alam sekitar yang bertujuan mengurangkan impak hakisan pantai akibat perubahan iklim serta
mewujudkan zon penampan semula jadi bagi perlindungan pesisir.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, inisiatif itu merupakan satu pendekatan mampan berasaskan alam semula jadi ang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

Beliau yang juga merupakan pakar hakisan pantai menjelaskan, pemilihan jenis pokok yang bersesuaian amat perlu bagi mengurangkan kesan jangka panjang.

“Pemilihan pokok rhu dan ketapang adalah berdasarkan keupayaan semula jadi kedua-dua spesies ini untuk menahan angin monsun, mengikat tanah berpasir serta
berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesies fauna pesisir,” jelas beliau.

Program itu juga disertai oleh penduduk kampung, pelajar UMT serta sukarelawan alam sekitar.

Selain aktiviti penanaman pokok, turut diadakan sesi kesedaran tentang kepentingan ekosistem pantai yang menyasarkan komuniti setempat sebagai barisan hadapan
dalam pemeliharaan sumber alam.

Turut hadir menjayakan program ialah wakil PLANMalaysia, pegawai daripada agensi kerajaan berkaitan, serta ahli akademik dan aktivis pemuliharaan.

Selain itu, inisiatif yang dilaksanakan itu turut seiring dengan agenda Greening Malaysia dan Pelan Induk Pembangunan Fizikal Negara (NPDP) yang menekankan
elemen adaptasi perubahan iklim serta kelestarian kawasan pesisir negara.

Pelaksanaan program itu juga diadakan bersempena sambutan World Oceans Week 2025 (WOW25) yang berlangsung sepanjang minggu terakhir bulan Jun, sekali gus
mengangkat semangat cintakan alam sekitar dan menyemarakkan nilai lestari dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast