KUALA LUMPUR – Hasil siasatan tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights yang menyimpulkan seoalah-olah tidak ada unsur jenayah, sabotaj dan kecuaian menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Apatah lagi, menurut peguam, Yusfarizal Yussof, rakyat sebelum ini didedahkan dengan fakta yang mana saluran paip gas boleh bertahan sehingga 50 tahun, penyelenggaraan rutin sentiasa dilakukan dan sebagainya.
Malah beliau turut membangkitkan beberapa perkara yang perlu dirungkai yang menimbulkan persoalan daripada laporan yang merumuskan tiada kecuaian dalam tragedi tersebut.

“Apakah pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa yang panjang tersebut tidak akan dapat dikesan sewaktu penyelenggaraan rutin? Tiadakah SOP untuk mengesan ekosistem sekitar paip selepas beberapa puluh tahun?
“Apakah maksud tekanan iklim? Sekiranya benar ada tekanan iklim (yang tentunya boleh dikaji dan dikenal pasti), apakah tiada usaha untuk mengkaji struktur paip tersebut yang kemungkinan terkesan lantaran daripada tekanan iklim tersebut?
“Kepadatan penduduk itu disebabkan apa? Bukankah ia faktor perancangan bandar? Tidakkah pembangunan sekitar kawasan perpaipan berisiko tinggi perlu perancangan khusus untuk mengelak kepadatan?” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Sementara itu, Yusfatizal yang juga Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Selangor berkata, meskipun laporan berhubung tragedi tersebut boleh diterima, namun bukan tindakan yang bijak untuk diterima dengan hati terbuka begitu sahaja.
Sebaliknya, tegas beliau, perlu ada pengesahan pihak ketiga mengenai laporan itu selain kerajaan juga perlu mendedahkan laporan penuh siasatan tragedi tersebut.
“Kalau benar ia act of God maka apakah kita hanya tunggu dan lihat? Dan merangka dasar dan undang-undang baru yang entah bila dapat dilaksana.
“Esok lusa ia mungkin boleh terjadi lagi dan takkanlah kita masih menyalahkan tanah?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan dengan terperinci pelan tindakan segera untuk membuat kajian, ujian dan pemantauan ke atas struktur perpaipan gas di seluruh negara.
“Bagi saya, ia jauh daripada selesai,” tambahnya.
Semalam, polis mengesahkan tiada sebarang unsur khianat dikesan dalam siasatan insiden letupan gas yang menggemparkan penduduk Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan kejadian disebabkan perbuatan sabotaj atau kelalaian jenayah oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

















Assalamualaikum saya duduk satu kilometer dari tempat berlakunya letupan paip gas di Putra Heights sangat sedih dan pilu berita tersebut tiada apa yang tinggal untuk mereka yang terlibat sepatutnya pihak berwajib harus bertanggung jawab di atas kejadian ini harus membina rumah untuk mereka yang tiada dan juga baik pulih rumah mereka yang rosak dengan segera mungkin oleh mereka yang berkaitan tanpa menuding jari kpd sesiapa buatlah apa yang patut kesian mereka tak ada tempat tinggal yang sempurna bantulah kerana Allah swt terima kasih
setuju..semoga pihak terlibat membina menganti membaiki pulih kediaman penduduk yang terlibat seperti sedia asal sebelum kejadian..semoga di permudahkan segala urusannya..ameen Insyaa-Allah
Bukan semuanya salah Petronas. Paip PGU ini dibina lebih 35 tahun lalu. Kawasan itu dulu ladang kelapa sawit. Pihak kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya dan Kementerian Perumahan patut disalahkan juga kerana meluluskan pembangunan hampir dengan paip. Struktur tanah berubah apabila kerja-kerja tanah besar-besaran dijalankan di kedua belah mengubah hidrologi bawah tanah yg turut melembutkan dan melemahkan tanah di bawah paip.
Asalamualaikum, saya juga penduduk Putra Heights dan tinggal lebih kurang 1 ke 1 setengah kilometer dari tempat kejadian. Saya masih tidak berpuas hati dengan jawapan/siasatan yang diberikan oleh DOSH. Malah kenapa Ketua Polis Selangor pula yang memberikan PC mengenai kejadian tersebut. Seolah-olah mahu menuding jari ke arah PETRONAS sahaja. Saya bekas pekerja GLC ini merasakan tiada logik nya jawapan atau siasatan yang diberikan oleh DOSH. Persoalan nya, adakah DOSH mempunyai pakar seperti ahli geology untuk memberikan keputusan tersebut. Setahu saya, DOSH hanya membicarakan tentang keselamatan pekerjaan sahaja malah pernah berkursus di Bangi selama 6 minggu. Tiada pula syllabus mengenai keselamatan yang membicarakan sifat geology atau rekabentuk muka bumi. Cuma sekadar keselamatan sahaja. Banyak komentar nak saya bicara kan tapi nanti lah.