Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan barang rampasan dalam satu kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dalam dua kes berasingan yang melibatkan jumlah rampasan bernilai RM26.88 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 01 JULAI 2025.

SHAH ALAM – Perbalahan antara kumpulan kongsi gelap dikenal pasti susulan tangkapan dua individu dipercayai terlibat dalam kejadian tembak mengakibatkan seorang ahli perniagaan maut di hadapan sebuah kedai di Taman Meru Utama, Meru, Klang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan dua individu masing-masing merupakan lelaki tempatan berhubung kes terbabit.

“Kedua-dua individu ini berumur antara 25 hingga 40 tahun dan ditangkap sekitar kawasan Klang pada hari yang berbeza. Siasatan dipercayai berpunca daripada perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai kejayaan kes narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurut Hussein, sehigga kini, pihaknya merakam keterangan sebanyak 12 individu terdiri daripada orang awam bagi membantu siasatan.

“Motif tembakan ini bukan secara rambang sebaliknya merupakan serangan yang disasarkan ekoran perbalahan antara dua kumpulan kongsi gelap.

“Punca perbalahan masih dalam siasatan sama ada berkaitan perebutan kawasan, pengedaran dadah atau perkara lain,” katanya.

Jelasnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian kumpulan kongsi gelap yang terlibat.

“Siasatan turut mendapati mangsa juga dipercayai merupakan ahli salah satu kumpulan kongsi gelap terbabit. Selain itu, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek yang menembak ini individu yang diupah atau ahli salah satu kumpulan kongsi gelap terlibat,” tambahnya.

Pada Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemui maut dalam keadaan mengiring dengan kesan tembakan di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Taman Meru Utama.

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Polis juga sedang meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup berhampiran lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang lelaki tempatan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast