Antara buah-buahan import yang akan dikenakan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2025 di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 17 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Beberapa jenis buah-buahan import seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma tidak lagi dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) susulan pengecualian yang diumumkan Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Bagaimanapun, duti import ke atas buah-buahan tersebut masih lagi akan dikekalkan pada kadar lima peratus, kata Pengarah Urusan MBG Fruits, Adnan Lee.

“Sebelum pengecualian ini, buah seperti epal dan mandarin akan dikenakan duti import lima peratus serta SST lima peratus.

“Namun selepas semakan semula untuk pengecualian SST bermula Julai ini, hanya duti import masih perlu dibayar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bagi oren dan kurma pula, kedua-duanya tidak dikenakan duti import.

Pengecualian SST yang berkuat kuasa hari ini, dua buah-buahan itu bebas sepenuhnya daripada sebarang cukai.

“Buah-buahan lain seperti avokado, blueberry, cherry, nectarine, kiwi, fig, plum dan persimmon masih dikenakan SST lima peratus manakala buah seperti dragon fruit, passion fruit dan pitahaya dikenakan caj berdasarkan jenis dan berat.

“Bagi mengurangkan kos import pula, kami telah memanfaatkan pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara seperti China, ASEAN, Jepun, Korea, India, Australia, Pakistan dan Turki.

“Dengan penggunaan FTA, kami dapat menawarkan buah-buahan segar berkualiti premium pada harga lebih kompetitif, selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” tambahnya.

Pihaknya juga memberi jaminan akan menyalurkan manfaat pengecualian SST terus kepada pengguna melalui harga lebih berpatutan.

Selain itu, Adnan juga akan memastikan bekalan buah import berkualiti pada harga berdaya saing dapat dikekalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast