GEORGE TOWN – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian dua beranak yang mayat mereka ditemui reput di sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ia hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang hari ini.
“Tiada sebarang kecederaan luaran atau luka pada tubuh kedua-dua mangsa. Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan terdapat pereputan organ namun tiada kecederaan dalaman yang mencurigakan ditemui.
“Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut dan tiada siasatan lanjut dilakukan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan, kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia lebih dua minggu lalu.
Media semalam melaporkan busuk dari sebuah unit di tingkat sembilan sebuah apartmen di Jalan Bukit Gambir di sini membawa kepada penemuan tragis mayat seorang wanita tempatan dan anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang sebelum meminta bantuan pasukan bomba untuk membuka pintu kediaman terbabit susulan berkunci dari dalam.
Susulan itu, polis menemui mayat seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di dalam kediaman berkenaan. – MalaysiaGazette
















