Sebuah kapal persiaran yang didapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh ditahan dalam satu rondaan rutin berhampiran perairan Pulau Lintang Jalan, Langkawi, semalam. Ihsan Foto : APMM

KUALA LUMPUR – Sebuah kapal persiaran yang didapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh ditahan dalam satu rondaan rutin berhampiran perairan Pulau Lintang Jalan, Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, kapal terbabit ditahan kira-kira jam 6 petang ketika sedang menjalankan aktiviti rekreasi air pada kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat dari pulau berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan oleh seorang kapten bersama tujuh anak kapal, kesemuanya warga tempatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal berkenaan membawa seramai 39 penumpang yang terdiri daripada 36 warga asing dan tiga warga tempatan.

“Kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk kapal dan barang-barang kes dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Kapal persiaran bersama semua anak kapal serta barang kes telah dibawa ke Jeti Maritim Dayang Bay untuk siasatan lanjut.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim dan akan terus komited dalam melaksanakan rondaan serta penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast