GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan tindakan kerajaan membiarkan kekosongan jawatan penting dalam badan kehakiman hingga ke saat akhir tanpa diisi segera sebagai amat tidak bertanggungjawab dan menampakkan kelemahan pentadbiran negara.

Pengerusi Biro Perundangan & Perlembagaan Bersatu, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, sikap kerajaan yang terus membisu berkenaan lanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim juga telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan persepsi negatif.

Situasi itu, ujarnya, boleh mencalarkan imej dan kesucian sistem kehakiman serta keadilan negara.

ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq.-Gambar FB

Dalam masa sama, beliau menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ada usaha melobi supaya tempoh Tengku Maimun dilanjutkan sebagai cetek pemikiran.

Ini kerana, tegasnya, isu yang lebih besar adalah keperluan untuk mengekalkan kesinambungan pentadbiran badan kehakiman sedia ada dalam memartabatkan sistem keadilan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/07/01/enam-tahun-sudah-melengkapkan-tugas-saya-itu-sudah-cukup-tengku-maimun/

“Kenapa jawatan tertinggi ini boleh dibiarkan kosong tanpa pengganti segera?

“Adakah terdapat usaha di belakang tabir ataupun terdapat konflik kepentingan seseorang individu tertentu untuk mengatur dan mencatur calon-calon “favourite” supaya individu tersebut dapat menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menyelamat dan melepaskan diri apabila tiba masanya nanti?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tengku Maimun mengakhiri perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara manakala Abang Iskandar turut akan bersara wajib esok, namun pengganti bagi kedua-dua jawatan tersebut masih belum diumumkan sehingga kini.

Sementara itu, Khaliq Mehtab berkata, sebarang pelantikan baharu ataupun lanjutan tempoh Ketua Hakim Negara haruslah disegerakan agar keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman tidak terhakis.

Apatah lagi, ujar beliau, situasi sebegitu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, selain keadaan tersebut dibimbangi boleh membawa kepada krisis Perlembagaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast