KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC mengumumkan pelantikan Risto Vidakovic dari Serbia sebagai jurulatih pasukan yang baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim baharu.
Pelantikan bekas jurulatih Melaka United FC itu diumumkan pengurusan The City Boys di platform media sosial kelab itu.
“Satu babak baru bermula untuk The City Boys. Seorang jurulatih berpengalaman di bahagian dunia ini akan membawa kita ke hadapan!
“Mari bina sesuatu yang hebat bersama-sama! Selamat datang ke ibu kota, Coach Risto Vidakovic!” kata KL City dalam satu kenyataan di sini.
Vidakovic dibawa masuk menggantikan rakan senegara, Miroslav Kuljanac.
Sebelum ini, nama Fandi Ahmad disebut untuk mengisi kerusi panas tersebut.
Selain Melaka United, Vidakovic juga pernah melatih Cadiz, Real Betis B, Lion City Sailors, Borneo FC, PSS Sleman dan Ceres-Negros.
Sementara itu, antara nama yang dikaitkan dengan pasukan Lembah Klang pada Liga Super yang bermula Ogos ini ialah Manuel Hidalgo, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abba. – MalaysiaGazette
















