Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor menegaskan teguran kepada pemerintah oleh pendakwah dalam perkara hukum hakam agama bukanlah satu jenayah, apatah lagi satu bentuk kebencian.

Sebaliknya, menurut Ketuanya, Mohamed Sukri Omar, teguran itu adalah satu tuntutan dan tanggungjawab agama.

Menurut beliau, Islam meletakkan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar ke atas bahu setiap pendakwah, termasuk dalam menegur pemerintah apabila berlaku pelanggaran terhadap hukum syarak, pengabaian terhadap fatwa atau ketidaktegasan dalam memelihara institusi Islam.

“Menjadikan teguran seperti ini sebagai “menyemai kebencian” adalah satu tuduhan yang berat, tidak berasas dan boleh mematikan suara dakwah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas peringatan Kerajaan Negeri Selangor hari ini supaya pemegang tauliah mengajar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak menyalahgunakan kelebihan berkenaan untuk kepentingan peribadi termasuk politik kepartian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, peringatan itu susulan aduan masih diterima pihaknya, antaranya membabitkan pemegang tauliah yang masih memegang jawatan dalam parti politik dan tidak berakhlak mulia.

Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, pihaknya memandangkan serius teguran Mohammad Fahmi tersebut yang disifatkan bukan sahaja membawa mesej yang mengelirukan.

Bahkan, ujarnya, ia juga boleh mencetuskan persepsi bahawa tauliah agama sedang dijadikan alat tekanan terhadap pendakwah yang menyampaikan kebenaran berdasarkan nas dan panduan syarak, termasuk dalam hal yang berkaitan dengan kepimpinan dan urus tadbir negara.

“Apakah kini, para pendakwah tidak boleh menyuarakan pandangan agama apabila melibatkan dasar kerajaan, hanya kerana bimbang tauliah mereka akan digantung?” katanya.

Tambah beliau, mengaitkan pengguguran tauliah dengan menyemai kebencian terhadap pihak pemerintah memberi gambaran seolah-olah tauliah adalah hak eksklusif yang boleh ditarik sesuka hati jika seseorang pendakwah tidak selari dengan selera politik pihak berkuasa.

Tegasnya, ia adalah satu bentuk salah guna kuasa yang sangat dibimbangi dalam sistem pentadbiran Islam.

“Kami menyeru agar para pemegang amanah dalam pentadbiran agama negeri bersikap adil dan terbuka terhadap kepelbagaian pandangan dalam kalangan pendakwah, selagi mana mereka berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dan menyampaikan dengan adab serta keilmuan,” katanya.

Tambah beliau, Pemuda Pas Selangor menghormati institusi MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai pelaksana dasar keagamaan di bawah naungan Sultan Selangor.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya berharap sebarang keputusan mengenai tauliah dibuat atas asas ilmu, maslahat dan syarak, bukan didorong tekanan atau naratif politik yang sempit. – MalaysiaGazette

Kerajaan Negeri tidak akan kompromi penyalahgunaan tauliah agama di Selangor – Fahmi Ngah

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast