Tun Faisal Ismail Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melahirkan kebimbangan dengan persetujuan negara menerusi Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) di Blok Ambalat yang disifatkan dimeterai secara tergesa-gesa.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, terdapat beberapa isu penting yang menjadi persoalan daripada JDA itu antaranya berkaitan penjelasan kerajaan khususnya di Parlimen; rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah serta makluman telus kepada rakyat.

Menurut beliau, blok Ambalat merupakan wilayah maritim yang menjadi pertikian dan perebutan antara Malaysia dan Indonesia sejak 1979.

Sehubungan itu, katanya, sebarang kerjasama pembangunan bersama sebelum pertikaian sempadan dimuktamadkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) boleh ditafsir sebagai pengesahan dan pengiktirafan tersirat kepada tuntutan Indonesia.

Ia, tegas beliau, merupakan satu langkah yang boleh menggugat kedaulatan negara sendiri.

Selain itu, ujarnya, JDA tersebut juga dimeterai tanpa kelulusan atau perbahasan di Parlimen yang disifatkan mencabuli prinsip demokrasi selain menimbulkan persoalan sama ada terdapat perkara yang cuba disorokkan daripada pengetahuan rakyat.

“Ambalat bersempadan terus dengan Sabah, namun tiada penglibatan atau rundingan rasmi dengan kerajaan Negeri Sabah.

“Ini satu penghinaan kepada hak negeri dalam isu berkaitan sempadan dan sumber ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di Jakarta, minggu lalu, Anwar berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, rakyat juga tidak dimaklumkan mengenai terma perjanjian JDA di Ambalat, sekali gus menimbulkan tanda tanya termasuk sama ada Malaysia kekal dengan tuntutan sepenuhnya ke atas wilayah maritim tersebut.

Persoalan lain, ujarnya, sama ada Malaysia boleh menarik diri daripada JDA itu sekiranya berasakan hak negara terancam serta sama ada hasil dan sumber kelak akan dikongsi bersama dengan Kerajaan Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, kita mendesak kerajaan mendedahkan segera kandungan penuh perjanjian JDA Ambalat selain memanggil sidang khas Parlimen bagi membahaskan dan menilai perjanjian tersebut secara telus.

“Kita juga menuntut JDA itu ditangguhkan sehingga pertikaian dan perebutan ke atas Ambalat antara kedua-dua negara diputuskan secara sah menerusi ICJ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Anwar yang mana kedaulatan negara bukan milik seorang Perdana Menteri dan tidak boleh dikompromi atas nama pelaburan atau hubungan diplomatik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast