JOHOR BAHRU – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Parit Sulong dibidas kerana mempertikai poster rasmi program Bantuan Zakat Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang disifatkan sebagai merendahkan martabat zakat dengan polemik murahan.
Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain berkata, usaha tersebut tidak wajar dicurigai dan dipolitikkan apatah lagi membabitkan pengagihan zakat.
“Apakah dosa poster itu, sehingga wajah seorang pemimpin yang memikul amanah pun dijadikan modal untuk menanam curiga dalam benak rakyat?
“Bukankah lebih baik berbicara soal bagaimana anak-anak Johor yang layak menerima zakat ini dibantu memasuki IPT dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini Armada Bahagian Parit Sulong mempertikaikan poster rasmi program berkenaan anjuran kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) yang kini tular.
Mohammad Aswad berkata, menampilkan wajah pemimpin bukan bermakna menjaja diri tetapi menunjukkan siapa yang bertanggungjawab di balik setiap dasar, tindakan dan inisiatif.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong itu berkata, dalam dunia demokrasi yang matang pemimpin harus tampil ke hadapan dan bukan bersembunyi di balik bayang dan kemudian menuding jari dari jauh.
Ujarnya, zakat adalah amanah suci umat Islam tetapi dalam sistem negara bangsa dan hasil kutipannya tidak turun dari langit terus ke pangkuan penerima secara ghaib.
Jelasnya, semua itu perlu diurus dan disalur secara sistematik melalui institusi, tadbir urus dan pimpinan serta dalam konteks negeri, itu adalah peranan kerajaan negeri dan MAIJ.
“Cukuplah bermain wayang dengan persepsi. Janganlah keikhlasan dijadikan kambing hitam kepada kegagalan membaca realiti. Jika benar anda peduli tentang maruah zakat, bicaralah tentang integriti pengagihannya, bukan sekadar marah pada secebis poster.
“Ironinya, budaya mempolitikkan bantuan ini hanya subur dalam kalangan mereka yang terlalu ghairah menangguk di air keruh. Sedangkan rakyat yang menerima bantuan ini lebih tahu menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya tahu berbunyi dari tepi gelanggang.
“Saya yakin dan percaya rakyat Johor cukup cerdik untuk menyaring yang hak dan batil. Cukup cermat untuk mengenal yang benar-benar berkhidmat dan yang hanya tahu mencipta naratif demi kepentingan politik sendiri,” ujarnya.
Beliau meminta Armada berkenaan tidak merendahkan maruah zakat dengan polemik murahan.
“Biarlah ia kekal sebagai lambang kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang memerlukan, disampaikan melalui tangan-tangan yang ikhlas dan berani bertanggungjawab,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















