Zulkifly melakukan tinjauan pematuhan penggunaan tali pinggang keledar di terminal bas Penang Sentral.

BUTTERWORTH – Baru beberapa hari dikuatkuasakan, peraturan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan bas persiaran sudah menunjukkan kesan positif apabila majoriti penumpang dan pemandu mematuhi arahan tersebut.

Hasil pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mendapati kesedaran dalam kalangan pengguna amat memberangsangkan apabila hanya tiga individu dikesan tidak memakai tali pinggang keledar setakat hari kedua penguatkuasaan.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 158 buah bas dan setakat hari kedua penguatkuasaan mendapati hanya dua penumpang dan seorang pemandu bas melakukan kesalahan itu.

“Operasi sehingga semalam itu membabitkan pemeriksaan ke atas 115 buah bas ekspres dan 43 bas persiaran di Terminal Sungai Nibong, Penang Sentral, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), plaza tol.

Zulkifly.

“Anggota turut melakukan penyamaran sebagai penumpang bas bagi memantau pematuhan secara menyeluruh.

“Daripada keseluruhan pemeriksaan itu, hanya dua penumpang dan seorang pemandu bas didapati melanggar peraturan dan mereka dikenakan kompaun sebanyak RM300 setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan pematuhan penggunaan tali pinggang keledar di terminal bas Penang Sentral di sini, malam tadi.

Tambah beliau, pemandu bas juga diminta memainkan peranan dengan memberi penerangan serta memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum perjalanan bermula.

“Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko kecederaan serius dan kematian sekiranya berlaku kemalangan, selain mengelakkan penumpang tercampak akibat impak pelanggaran.

“Mereka yang gagal mematuhi peraturan itu membolehkan kompaun RM300 dikenakan di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008).

“Peraturan tersebut terpakai bagi semua bas yang dibina mulai 1 Januari 2020 kecuali bas henti-henti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast