Abbas Araqchi

TEHRAN – Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, menyifatkan pencerobohan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap kemudahan nuklear aman Iran sebagai “pengkhianatan terhadap diplomasi”.

Araqchi mengadakan panggilan telefon dengan Ronald O. Lamola, Menteri Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Republik Afrika Selatan, pada hari Rabu bagi membincangkan perkembangan serantau susulan penghentian pencerobohan ketenteraan oleh rejim Israel dan AS terhadap Iran.

Diplomat tertinggi Iran itu menyatakan penghargaan terhadap pendirian Afrika Selatan yang mengecam pencerobohan ketenteraan rejim Israel terhadap Iran.

Beliau menegaskan, serangan haram dan bersifat pengganas oleh rejim Israel terhadap Iran adalah akibat daripada kekebalan yang dinikmati rejim itu dan kegagalan masyarakat antarabangsa bertindak terhadap jenayah rejim tersebut di Gaza serta pencerobohan ke atas Lebanon dan Syria.

Oleh itu, beliau menekankan, semua penyokong dan pembela rejim tersebut turut bersubahat dalam jenayahnya.

Araqchi berkata, pencerobohan ketenteraan oleh rejim Israel terhadap Iran berlaku ketika rundingan dengan AS masih berlangsung dan mendapat kerjasama dan sokongan AS, yang kemudiannya turut melancarkan pencerobohan terhadap kemudahan nuklear aman Iran.

“Tindakan ketenteraan AS terhadap kemudahan nuklear aman Iran merupakan pengkhianatan terhadap diplomasi dan satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap kedaulatan undang-undang antarabangsa, dan rejim antipenyebaran senjata nuklear,” ujarnya.

Ronald Lamola pula menyampaikan ucapan takziah kepada Iran dan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan rejim Israel terhadap wilayah Iran, terutamanya serangan ke atas kemudahan nuklear.

Beliau berkata, Afrika Selatan akan menggunakan segala kapasitinya untuk mempertahankan rejim antipersebaran senjata nuklear dan menyokong dialog menyeluruh demi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kedua-dua pihak turut mengecam jenayah yang dilakukan oleh rejim Israel di Gaza dan menegaskan keperluan mendesak agar masyarakat antarabangsa bertindak terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan genosid terhadap rakyat Palestin. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast